Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Awas fenomena kepala air

KEADAAN arus sungai yang deras menyukarkan kerja-kerja mencari
KEADAAN arus sungai yang deras menyukarkan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa lemas. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Saudara Pengarang, SAYA cukup sedih menatap akhbar Mingguan Malaysia semalam yang memaparkan seorang bapa, Kamarul Ariffin Osman menangis ketika menunggu pasukan mencari dan menyelamat menemukan anaknya, Muhammad Aiman, 12, yang masih hilang selepas dihanyutkan arus deras.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, tujuh murid Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 dihanyutkan arus deras di Sungai SKC, Kampung Timah, Bukit Beruntung, Selangor. Setakat ini, lima mayat mangsa telah ditemukan.

Berdasarkan siasatan awal pihak polis, kejadian itu dipercayai berpunca daripada fenomena kepala air berikutan berlaku hujan lebat kira-kira dua jam di sekitar kawasan berkenaan sehingga menyebabkan arus deras setinggi kira-kira lima meter tiba-tiba mengalir dari hulu sungai itu.

Paras air di sungai berkenaan sebenarnya cetek iaitu sekadar betis sehingga kawasan itu sering menjadi tumpuan remaja untuk bermain dan menangkap ikan.

Kes sedemikian bukanlah kali pertama terjadi kerana sudah banyak berlaku kejadian lemas yang berpunca daripada fenomena kepala air.

Kepala air merujuk kepada gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti besar yang mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama. Lazimnya, kejadian itu berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai.

Aliran air sangat deras itu boleh membawa segala macam benda yang boleh membahayakan nyawa manusia termasuk balak dan batu besar yang akan merempuh apa sahaja halangan di hadapannya.

Keadaan arus yang deras juga boleh menyebabkan sesiapa sahaja lemas termasuk yang pandai berenang.

Oleh itu, bagi menghadapi fenomena itu semua pihak perlu sentiasa berhati-hati dan segera beredar dari sungai dan air terjun jika terlihat tanda-tanda awal fenomena berkenaan.

Antaranya, keadaan langit gelap di bahagian hulu sungai yang kebiasaannya terletak di kawasan puncak bukit yang disertai dengan bunyi guruh dan hujan.

Fenomena itu juga dapat dikesan daripada bunyi dentuman gerakan batu-batan atau air dari hulu sungai.

Air kebiasaannya akan berbuih dan permukaan sungai akan dipenuhi dengan kelodak, daun reput dan ranting kayu yang muncul secara tiba-tiba.

Saya juga berharap dipasang lebih banyak siren amaran awal yang akan mengeluarkan bunyi sekiranya berlaku peningkatan paras air dan arus deras secara tiba-tiba di hulu sungai.

Difahamkan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan telah mencipta sistem siren amaran awal kepala air yang lebih murah berbanding peralatan diimport yang harganya mencecah jutaan ringgit setiap satu selain kos penyelenggaraan dan alat ganti yang mahal.

Satu lagi yang harus dielakkan adalah trend meluruskan sungai khususnya anak-anak sungai dan memasang dinding konkrit di kawasan tebing.

Kajian yang dilakukan saintis dari Austria, Viktor Schauberger jelas menunjukkan langkah meluruskan sungai dan pemasangan konkrit akan menyebabkan arus menjadi lebih deras dan membuatkan sesiapa yang dihanyutkan tiada peluang untuk terus hidup.

Sungai yang tidak dipasang dinding konkrit akan mempunyai akar kayu yang membolehkan mangsa bergayut untuk menyelamat diri.

Schauberger juga menjelaskan bentuk sungai jika dilihat dari udara seperti ular dipalu adalah satu contoh fenomena alam semula jadi yang mempunyai banyak faedah.

PENSYARAH MUDA

Kuala Lumpur

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain