SEJAK kebelakangan ini semakin ramai orang kelihatan semakin cantik, putih, gebu dan muda dengan mendapatkan pelbagai bentuk rawatan kecantikan tetapi ada antaranya tidak mengikut cara yang betul. Pada mulanya mereka mengambil produk yang terdapat di pasaran tetapi apabila hasil yang didapati tidak memuaskan mereka mula mendapatkan produk yang lebih berbahaya dengan harapan mendapat hasil lebih pantas.

Antaranya melalui kaedah suntikan untuk kecantikan.

Baru-baru ini ada kes seorang bekas jururawat telah ditahan kerana memiliki produk yang tiada kelulusan Kementerian Kesihatan.

Dia turut menjalankan aktiviti suntikan di rumah sendiri yang boleh mengundang bahaya kepada ’pelanggan’ yang mendapatkan rawatan tersebut.

Bahan yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan termasuk suntikan Vitamin C, glutation dan kolagen. Untuk pengetahuan pembaca, suntikan apa jua jenis bahan ke dalam badan manusia hanya dibenarkan dilakukan oleh pengamal perubatan iaitu doktor, doktor haiwan dan doktor-doktor pakar.

Suntikan oleh jururawat atau pembantu perubatan hanya dibenarkan dilakukan di bawah pemerhatian seorang doktor di hospital atau premis kesihatan yang lain.

Ini bermakna sebarang suntikan yang dilakukan selain oleh doktor atau tanpa pemerhatian doktor adalah salah di sisi undang-undang.

Tindakan mendapat suntikan terutama suntikan vitamin C daripada orang yang tidak bertauliah adalah berbahaya kerana boleh menyebabkan jangkitan kuman kerana prosedur yang dilakukan tidak berada dalam keadaan bersih atau nyah kuman.

Kadang kala, ada yang tidak memakai sarung tangan getah ketika memberi suntikan sementara premis yang digunakan termasuk di dalam kereta dan beberapa tempat tidak bersih meningkatkan lagi risiko jangkitan kuman di tempat suntikan.

Risiko ini akhirnya akan ditanggung sendiri oleh ‘pelanggan’ tersebut. Buat masa ini, suntikan Vitamin C masih belum mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan walaupun diketahui ada manfaatnya dalam rawatan tertentu.

Cuma seorang doktor mengetahui bila rawatan suntikan vitamin boleh digunakan seperti suntikan Vitamin B complex dan sebagainya.

Suntikan-suntikan ini akan diberi oleh doktor jika mereka merasakan keadaan pesakit memerlukannya.

Dengan mengambil kira kesan sampingan jika suntikan diberi dalam dos berlebihan, adalah lebih baik orang ramai mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi menentukan kaedah rawatan terbaik mengikut keperluan individu.

Selain itu, ada yang berani mengambil suntikan berbahaya seperti Tranexamic Acid untuk memutihkan kulit tanpa mengambil tahu tujuan sebenar ubat itu digunakan.

Tranexamic Acid adalah ubat untuk memberhentikan darah jika berlaku pendarahan.

Tiada kesan pemutihan kulit sebenarnya dalam ubat tersebut tetapi disebabkan mengikut tindakan orang lain yang pernah mencubanya, ubat tersebut mula digunakan untuk tujuan yang salah.

Adalah dikhuatiri penggunaan ubat tersebut boleh menyebabkan pembentukan darah beku dalam salur darah seterusnya menyebabkan kejadian strok apabila darah beku itu menyebabkan salur darah di kepala tersumbat.

Orang ramai yang tidak tahu kesan sampingan sebegini seharusnya mendapatkan nasihat daripada doktor bertauliah sebelum memulakan apa-apa bentuk rawatan kecantikan.

Begitu juga pengambilan ubat-ubatan seperti glutathione atau kolagen tanpa mengetahui kandungan sebenar dalam ubat tersebut.

Saya menasihatkan orang ramai mendapatkan nasihat doktor dan jangan terus membeli ubat-ubat tersebut tanpa memeriksa fungsi dan kesan sampingan yang mungkin timbul demi keselamatan diri mereka sendiri.

Kebanyakan pengguna kini akan terus membeli ubat-ubat tersebut kerana mahukan rawatan yang murah semata-mata tanpa memikirkan kesesuaian kepada keadaan kulit dan badan mereka sendiri.

Jangan memperjudikan nasib kepada golongan yang tidak profesional dalam mengendalikan hal kecantikan dan kesihatan anda.

Sekali anda dirundung malang, kesannya akan berkekalan ditanggung diri sendiri. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

DR. NORZAIDI ZAKARIA

Biro Media Perdim