Golongan ini lebih dikenali dengan gelaran scammer. Sebanyak 3,921 insiden penipuan dalam talian dilaporkan pihak berkuasa sepanjang 2016 membabitkan kecurian data, skim penipuan, pembelian barangan dalam talian serta perbankan internet. Jumlah itu adalah peningkatan 20.4 peratus berbanding 2015.

Meneliti kes-kes dari fail Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), golongan penipu ini menjanjikan pulangan yang begitu tinggi bagi memancing penyertaan mangsa.

Penggunaan internet yang semakin meningkat di negara ini menjadikannya medium utama kepada scammer profesional ini untuk meneruskan kerja haram mereka termasuk menyasarkan golongan pelajar universiti.

Penipuan melalui laman web mudah.com adalah antara paling ketara selain sindiket penipuan bungkusan atau menerusi Facebook, WhatsApp, Instagram atau WeChat.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga telah mengeluarkan satu kenyataan pada 5 April 2017 selepas menerima laporan mengenai sindiket penipuan tawaran belajar ke institut pendidikan tinggi.

KPT menegaskan bahawa tawaran melanjutkan pelajaran yang disebarkan melalui media sosial seperti aplikasi WhatsApp adalah palsu dan penipuan serius oleh pihak tidak bertanggungjawab. Tindakan ini telah menyebabkan ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tertipu.

Sikap sambil lewa masyarakat dalam menguruskan kewangan masing-masing di landasan yang tepat dan betul pula telah membuka peluang kepada golongan penipu profesional ini mencuri secara digital demi kemewahan hidup mereka sendiri.

Mangsa-mangsa penipuan khususnya dalam kalangan pelajar harus berwaspada dengan segala bentuk tawaran dan peluang kekayaan yang makin berleluasa di laman-laman sosial.

Masyarakat pada hari ini bernasib baik kerana agensi dan pihak kerajaan sendiri amat mengambil berat terhadap kes-kes penipuan dalam talian melibatkan golongan scammer profesional ini.

Mereka membanteras habis-habisan sindiket ini kerana di saat rakyat sedang berusaha untuk meningkatkan taraf hidup, golongan bijak pandai ini pula sanggup mengambil kesempatan demi keuntungan peribadi.

MOHD. SHAMIR SHAHRIN

Universiti Sains Islam Malaysia