Dilaporkan bahawa sampah-sarap dan puntung rokok dibuang merata-rata di kawasan luar stesen MRT selain ada pihak tidak bertanggungjawab mencalarkan serta merosakkan tempat duduk di kawasan platform.

Keadaan ini andai berlarutan pasti menimbulkan kesulitan dalam kalangan rakyat. Kes vandalisme MRT ini hanya salah satu daripada ratusan laporan kes vandalisme lain yang kerap diketemukan dalam akhbar dan media sosial seperti mencuri harta awam, contengan grafiti di dinding bangunan atau pejabat, dan lain-lain lagi.

Keghairahan melakukan vandalisme sebegini menunjukkan bahawa sebilangan masyarakat kita masih layak digelar barbarian atau orang zaman batu berminda jumud kelas ketiga, walhal kemudahan awam disediakan kerajaan berkualiti kelas pertama.

Umum maklum kewujudan sebahagian masyarakat yang tidak berniat membuat kerosakan terhadap kemudahan awam tetapi secara tidak langsung, ada tindak-tanduknya yang mencerminkan sikap vandalisme.

Misalnya, kerana malas turun ke tingkat bawah, ada penghuni rumah pangsa atau apartmen selamba melempar bungkusan sampah dari tingkat atas. Tindakan sebegini bukan sahaja menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran, bahkan boleh mengundang maut jika sampah tersebut menghempap kepala orang lain di bawah.

Begitu juga keadaannya dengan kemudahan-kemudahan awam lain yang tidak digunakan secara berhemah oleh masyarakat, justeru seringkali kita melihat tiang-tiang telefon awam dan perhentian bas menjadi sasaran vandalisme.

Sikap ‘tak apa, nanti ada orang lain akan bersihkan’, atau ‘ini bukan harta aku’ adalah antara penyebab mengapa kebejatan sosial dan vandalisme sebegini masih terus berulang. Sememangnya penguatkuasaan dan tindakan undang-undang adalah antara kaedah terbaik dalam mengajar masyarakat untuk tidak melakukan vandalisme. Namun sejauh manalah kemampuan pihak berkuasa untuk melaksanakan strategi penguatkuasaan 24 jam sehari?

Kaedah sebegini bukanlah jawapan total kepada pencegahan gejala buruk tersebut. Malah tidak wajar sama sekali jika sesetengah masyarakat menuding jari kepada pihak penguasa untuk membendung perbuatan vandalisme ini dengan alasan rakyat telah membayar cukai untuk membayar gaji mereka agar menjalankan tugas!

Sebaliknya semua pihak harus bergabung tenaga mencegah masalah vandalisme. Misalnya, inisiatif pihak media meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan muda untuk menyayangi harta benda awam melalui kempen dan slot berita.

Selain itu, peranan penting ibu bapa dalam mendidik anak-anak untuk menjaga kebersihan dan mewujudkan rasa kebertanggungjawaban apabila menggunakan kemudahan awam. Mereka harus memberi contoh terbaik agar tidak membuang sampah sesuka hati, dan lebih baik mengajar anak-anak mengitar semula sampah untuk tujuan lain yang lebih baik.

Sikap tegur-menegur dan ambil peduli dalam kalangan jiran juga perlu supaya tidak ada yang lepas tangan dalam menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran. Jika ada yang ternampak individu tertentu terlibat dengan vandalisme, tegur mereka secara berhemah atau adukan segera kepada pihak berwajib.

Amalan gotong-royong dan bekerjasama membersih dan mengindahkan kemudahan awam mahupun kawasan kejiranan perlulah disemai. Memang sudah ada beberapa komuniti perumahan yang telah mengambil inisiatif dalam mengawal gejala sosial seperti mewujudkan rukun tetangga, mengecat semula dinding-dinding rumah dan balai raya, mengedarkan risalah-risalah berkaitan kebersihan dan menganjurkan program-program pendidikan, namun perlu juga disuburkan dan diamalkan oleh semua komuniti masyarakat di seluruh negara.

Pemikiran kita seharusnya bertambah maju ke hadapan selaras dengan pesatnya kemajuan negara, bukannya bersifat mundur ke belakang dengan gaya pemikiran orang zaman batu.

DR. KHAIRUNNEEZAM 
MOHD. NOOR

Universiti Sains Islam Malaysia