Bagaimanapun, tekanan berlebihan dan tidak terurus boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental dan fizikal individu pekerja tersebut selain menjejaskan produktiviti organisasi.

Menurut Portal Pusat Maklumat Kerjaya, Kementerian Sumber Manusia, terdapat beberapa punca berlakunya tekanan di tempat kerja.

Pertama, jenis pekerjaan yang melibatkan suasana tempat kerja, bebanan kerja yang berpanjangan dan perubahan cara pengendalian kerja.

Keduanya adalah peranan kerja sentiasa berubah-ubah. Ketiga, konflik yang timbul dalam perhubungan sesama rakan sekerja dan majikan.

Keempat, seseorang memperoleh kurang insentif dan penghargaan daripada majikan menyebabkan mereka kecewa. Kelima, perubahan pengurusan organisasi secara mendadak meningkatkan tekanan kepada pekerjaan.

Apabila berlakunya tekanan maka seseorang akan menunjukkan tanda-tanda melalui tingkah laku mahu pun emosi seperti bersikap ganas (panas baran), gelisah, gangguan selera makan, gangguan tidur, hilang tumpuan dan motivasi, kemurungan atau kerisauan berlebihan.

Sebagai seorang Muslim, kaedah terbaik menanganinya adalah dengan berpegang kepada syariat Islam. Seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan-Nya.

Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja adalah bertujuan memantapkan nilai-nilai keimanan, kesyukuran dan rasa cinta kepada-Nya.

Banyak panduan menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan. Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyak solat sunat.

Banyak kajian pakar psikologi Barat sendiri telah memperakukan solat memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang. Secara saintifiknya solat merupakan suatu tempoh masa ‘mendamaikan dan tenang’ di mana seluruh tubuh dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (Allah SWT).

Gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon-hormon yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan.

Solat turut membantu memberi intervensi positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen, degupan jantung dan gelombang otak.

Keduanya dengan amalan berzikir yang merupakan amalan mampu menenangkan jiwa. Ketiganya, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati tafsir al-Quran.

Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan.

Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jualah tempat yang kekal selama-lamanya.

Kelima, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerah segala yang diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya.

Kesimpulannya, walau sebesar mana pun masalah yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar bahawa ia boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.

DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

Pensyarah IPTA