SAMPAH yang terdapat di atas bumbung Arked Tanjung Dawai menjejaskan keindahan pemandangan. GAMBAR IHSAN PEMBACA

Lokasi wajib kami singgah adalah Arked Tajung Dawai bagi menikmati hidangan laut segar dan membeli produk perikanan seperti ikan kering, belacan dan ikan bilis.

Namun, keterujaan itu hilang apabila melihat keadaannya yang kurang terurus dan agak kotor. Kawasan arked seolah-olah tidak dijaga kerana banyak sampah di kaki lima dan tangga bangunan.

Malah, bumbung zink yang berada di belakang kedai menghadap ke laut turut dipenuhi sampah sarap. Keadaan surau juga berada dalam keadaan menyedihkan seolah-olah tiada penyelenggaraan.

Adalah menjadi kerugian sekiranya kawasan arked dibiarkan tidak terurus begini kerana Arked Tanjung Dawai menjadi antara kawasan wajib disinggahi pengunjung bagi mendapatkan buah tangan.

Sebenarnya, jika kawasan Arked dan Jeti Tanjung Dawai dijaga dengan baik, kawasan ini berpotensi dikomersialkan sebagai kawasan wajib dilawati pelancong.

Ramai yang tidak tahu Jeti Tanjung Dawai menyediakan perkhidmatan bot ke Pantai Merdeka yang hanya 5 minit perjalanan melalui jalan laut.

Sekiranya aktiviti tersebut giat dipromosikan, perkhidmatan bot akan menjadi pilihan pelancong sebagai akses ke Pantai Merdeka. Kewujudan banyak kedai produk perikanan dan restoran ikan bakar turut menjadi faktor tarikan pelancong ke Tanjung Dawai.

Namun, masalah kebersihan boleh menjadi faktor penghalang sekiranya tidak diatasi dengan segera. Oleh itu, menjadi peranan semua pihak berwajib dalam mengatasi masalah kebersihan ini dan memastikan kawasan Arked Tanjung Dawai dijaga dan diuruskan dengan baik.

Majlis Perbandaran Sungai Petani selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memainkan peranan utama dalam memastikan Arked Tanjung Dawai berada dalam keadaan bersih dan mesra pelanggan.

Pihak PBT dicadangkan membuat pemantauan berkala di kawasan berkenaan bagi memastikan kawasan arked terjaga. Selain itu, Pejabat Daerah Kuala Muda, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pihak berkuasa lain juga diharap dapat memainkan peranan sewajarnya bagi mengatasi masalah kekotoran ini.

Sekiranya pihak PBT gagal bertindak, komuniti setempat perlu memainkan peranan dengan bekerjasama membersihkan dan mengindahkan kawasan arked. Persatuan peniaga Arked Tanjung Dawai disarankan mengupah kontraktor pembersihan secara berkala atau menjalankan aktiviti gotong-royong.

Mahasiswa dari institut pengajian tempatan seperti UiTM Merbok, MRSM Merbok dan AiMST University juga disarankan untuk menjalankan aktiviti komuniti di Tanjung Dawai bersama-sama dengan penduduk setempat.

Selain membersihkan kawasan arked, mahasiswa terlibat juga dapat menjalankan aktiviti sukarelawan yang dapat meningkatkan kemahiran insaniah mereka.

Diharapkan melalui aduan ini, masalah kebersihan Arked Tanjung Dawai akan mendapat perhatian daripada pihak berwajib. Masalah ini perlu diatasi supaya Tanjung Dawai dapat menjadi kawasan pelancongan yang hebat ditambah dengan kawasan bersejarah dan rekreasi seperti Lembah Bujang, Pantai Merdeka, Pantai Murni dan Gunung Jerai yang berada di sekelilingnya.

Dengan rangka promosi dan pelan pembangunan yang baik daripada kerajaan negeri, pakej pelancongan di kawasan berkenaan dapat dibangunkan dan secara langsung dapat meningkatkan lagi ekonomi penduduk tempatan.

Sekiranya Pulau Langkawi dapat menjadi destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, tidak mustahil kawasan Tanjung Dawai dapat menjadi destinasi tumpuan pelancong yang terbaharu di Negeri Kedah ini.

Semoga masalah kebersihan Arked Tanjung Dawai dapat diselesaikan dengan secepat mungkin bagi memastikan aktiviti perniagaan peniaga di sana dapat berkembang dengan lebih pesat.

ATEERA

Alor Setar, Kedah