Beberapa orang yang mengisytiharkan diri sebagai Undang Luak Jelebu sebelum ini dan semuanya ditolak oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan kerana tidak cukup syarat ataupun ada  antara Buapak dan
Datuk Lembaga bertelagah sesama sendiri yang mahukan ‘orang dia’ diambil menjadi Undang. Inilah apa yang berlaku sehingga ke hari ini.

Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan hendaklah tegas dan segerakan pelantikan Undang Luak Jelebu mengikut seperti yang termaktub dalam Perkara 16 Perlembagaan Negeri Sembilan.

Kerajaan Negeri Sembilan perlu bersedia untuk mencari formula yang terbaik bagaimana untuk menangani situasi kemelut yang dihadapi untuk pemilihan Undang Luak Jelebu ini walaupun ia bersifat agak sensitif kerana penyentuhan adat istiadat Perpatih itu sendiri yang melibatkan Buapak iaitu ketua kepada anak-anak buah dan Datuk Lembaga iaitu Kabinet Undang Luak.

Untuk itu, pada pandangan saya sebaik-baiknya segala nama yang mahu diajukan untuk calon Undang Luak Jelebu ini oleh para Buapak dan Datuk Lembaga, masing-masing serahkan kepada Dewan Keadilan dan
Undang Negeri Sembilan untuk ditapis dan sudah pasti berkerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan membawa nama-nama yang dianggap layak untuk dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan agar baginda membuat pemilihan. 

Cara sebegini paling tepat kerana apa juga masalah rumit yang tidak dapat diselesaikan secara muafakat boleh diserahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebagai Raja dan Ketua Negeri menjaga agama dan adat istiadat negeri, membuat pengadilan dan keputusan seterusnya mengisytiharkan keputusan baginda kepada rakyat.

Dengan kaedah begini rasanya paling sesuai kerana orang Melayu terutama sekali rakyat Negeri Sembilan yang berpegang teguh dengan adat resam sejak turun-temurun tidak akan menyanggah atau membantah titah atau perintah rajanya sendiri kerana ketaatan dan kesetiaan kepada raja sudah dijadikan budaya dan adat kita. 

Untuk mengelakkan pemilihan Undang berulang kelak dan tidak berlaku kekecohan lagi, adalah disyorkan supaya setelah Undang Luak Jelebu diisytiharkan maka bakal penggantinya juga perlu dilantik bersama sebagaimana berlaku di Undang Luak Rembau di mana telah tersedia bakal penggantinya yang digelarkan sebagai ‘Baginda Tan Mas’ sebagai Timbalan Undang Luak sebagaimana diamalkan oleh Undang Luak
Rembau dan  Undang Luak Johol.

SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban