Dokumen berkenaan mengan­dungi rumusan mengenai aspirasi belia dalam membina masa depan Malaysia menjelang 2050 yang menumpukan pelbagai isu termasuk mahukan pekerjaan bernilai tinggi dan gaji mencukupi.

Satu hakikat yang perlu diketahui semua pihak adalah pembentukan TN50 agak unik dan belum pernah dibuat di negara ini iaitu pendekatan dari bawah dengan meminta pandangan rakyat terlebih dahulu terutamanya generasi muda.

Dalam erti kata lain, TN50 adalah berbeza dengan Wawasan 2020 dan dasar-dasar lain sebelum ini yang berasaskan visi kerajaan kepada rakyat atau pendekatan dari atas ke bawah.

Sebelum penyerahan dokumen itu, pandangan telah diperoleh daripada hampir dua juta orang melalui pelbagai kaedah termasuk 135 majlis dialog di peringkat daerah.

Bagi saya kandungan dokumen itu cukup komprehensif dan pada masa tidak melupakan asas utama untuk mewujudkan perpaduan. Antara cadangan dalam dokumen itu adalah penduduk menguasai tiga bahasa dengan bahasa Melayu sebagai medium perpaduan dan memastikan rakyat berkongsi identiti kebangsaan yang kukuh.

Dengan adanya TN50, Malaysia sudah mempunyai dasar pembangunan negara baharu bagi menggantikan Wawasan 2020 untuk tempoh 30 tahun selepas polisi sedia ada berakhir.

Dasar baharu itu membolehkan Malaysia menghadapi perubahan dunia yang cukup pantas dan dinamik yang tidak dapat diramalkan pada 1991 ketika Wawasan 2020 digubal.

Saya berharap seluruh rakyat memberi sokongan sepenuhnya kepada kerajaan dan bersama-sama berganding bahu bagi memastikan semua aspirasi TN50 menjadi kenyataan.

NUR HABIBAH NASARUDDIN

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)