Walaupun aplikasi Grab dikatakan ‘mencaras’ sumber rezeki pemandu teksi, namun itu bukan cara betul untuk melepaskan kemarahan dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pemimpin negara kita.

Walau bagaimanapun, pemandu-pemandu teksi kini tidak perlu runsing lagi kerana Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bersama Pertubuhan Pemandu, Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) telah melancarkan fasa pertama aplikasi cALLme sebagai inisiatif membuka kembali sumber rezeki golongan itu.

cALLme yang dimulakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum diperluaskan ke bandar-bandar lain itu bertujuan mengembalikan imej perkhidmatan teksi kepada masyarakat.

Memetik kata-kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, inisiatif ini berupaya untuk meningkatkan daya saing para pemandu teksi di dalam industri e-hailing dan membuka satu ruang untuk mengharmonikan industri itu sendiri.

Terima kasih diucapkan kepada pihak yang memperkenalkan inisiatif ini agar nasib golongan pemandu teksi tidak terus dipinggirkan.

NUR SYAZA ZULKIFLI

Kelantan