Mahu dikatakan Melayu, saya lihat tidak begitu membawa perwatakan Melayu. Mahu mengaku Islam juga agak meragukan berdasarkan penampilan, perbuatan dan tutur kata sesetengah daripada mereka.

Baru-baru ini nampaknya G25 ini begitu ‘galak’ membidas hukuman rotan terhadap dua wanita Melayu Islam di Terengganu disebabkan gaya hidup lesbian sampaikan kumpulan ‘Melayu celup’ ini mahu kuasa Mahkamah Syariah dinilai semula.

Saya tidak pasti sama ada mereka ini sudah mendaftar sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sekadar masuk bakul angkat sendiri kononnya pakar dalam semua bidang. Walau apa sekalipun, tolonglah pihak berwajib tegur sedikit kumpulan ini.

Bab agama biarlah mufti dan ulama Islam yang bercakap, bab perundangan serah kepada hakim dan peguam dan bab budaya biar pakar budaya dan sejarah mengulas.

Usia sudah lanjut dan lama menjadi penjawat awam (makan gaji) dalam bidang tertentu tidak menjadikan seseorang itu pakar kehidupan apatah lagi perihal agama.

Sekalipun sudah ada pengiktirafan sebagai pakar akademik sekalipun tidak bermakna boleh komen dalam perihal yang mereka tiada ilmu mendalam atau pengalaman besar.

Saya sebagai anak muda dalam dunia akademik kadangkala berasa malu apabila ahli G25 ini membuat kenyataan atau bercakap mengenai perkara yang jelas bukan kepakaran mereka, apatah lagi mahu menjelaskannya kepada pelajar universiti.

Cakap biarlah berlapik apatah lagi dalam usia emas agar tidak menjejaskan dan lenyapnya legasi sumbangan kepada negara selama ini.

PENSYARAH MUDA

Kuala Lumpur