Masyarakat kini kurang mengambil peduli tentang penggunaan Baby Hatch sebaliknya lebih banyak menumpukan kepada hal diri masing-masing tanpa memikirkan masalah sosial dalam kalangan remaja yang semakin berleluasa. Ramai yang tidak tahu atau mungkin tidak endah tentang penggunaan Baby Hatch yang disediakan oleh pihak seperti Orphancare.

Baby Hatch adalah tempat perlindungan yang dikhaskan untuk bayi dalam usaha menangani kes pembuangan bayi di Malaysia. Ia bukanlah satu perlakuan jenayah untuk meletakkan bayi di Baby Hatch namun ia adalah penyelamat kepada nyawa bayi-bayi yang tidak bersalah itu.

Maka, ibu-ibu yang telah melahirkan anak tidak sah taraf di luar sana, janganlah takut untuk meletakkan anak anda di tempat yang selamat berbanding tempat yang tidak sepatutnya seperti di tepi tong sampah, tepi jalan dan mana-mana tempat yang mengundang bahaya kepada bayi itu.

Elakkan perlakuan jenayah dan fikirkan keselamatan bayi tersebut. Saya berharap supaya kes pembuangan bayi akan menurun setiap tahun selepas ini dengan wujudnya penggunaan Baby Hatch ini. Sama-sama kita mengurangkan jenayah pembuangan bayi demi menjamin kelangsungan hidup generasi akan datang.

SITI SALWA JAMAHUDDIN

Shah Alam, Selangor