Peningkatan sungai tercemar bukan suatu rahsia, mengambil data daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 2008, sebanyak 58 peratus sungai dikategorikan sebagai bersih, 34 peratus sederhana dan hanya lapan peratus tercemar. Apabila dibandingkan pada 2017, peratusan sungai bersih dan sederhana hampir sama iaitu masing-masing berjumlah 46 dan 43 peratus. Penurunan status sungai bersih dan peningkatan sungai sederhana menatijahkan peratus sungai tercemar pada 2017 meningkat kepada 11 peratus!

Pada 2017, JAS melaporkan daripada 51 sungai berstatus tercemar, 24 daripadanya berada dalam Kelas III (air memerlukan rawatan intensif); 26 dalam Kelas IV (air hanya untuk tujuan pengairan dan kualiti sederhana) manakala satu sungai dalam Kelas V iaitu tercemar teruk. Ini satu dapatan data yang harus kita ambil serius dan bimbangkan kerana sampai bila jangka hayat sungai ini mampu bertahan.

JAS mengklasifikasikan pencemaran sungai berpunca akibat dua keadaan iaitu punca tetap dan punca tidak tetap. Punca tetap contohnya hasil pembuangan sisa toksik dan industri tidak dirawat; air sisa larut resap; sisa dari loji rawatan kumbahan dan pembuangan sisa minyak dari bengkel kenderaan.

Bagi punca tidak tetap ia boleh datang daripada penggunaan baja kimia atau racun serangga pertanian berlebihan; hakisan akibat kerja tanah tidak terkawal; pembuangan sisa oleh pihak tidak bertanggungjawab dan air larian permukaan dari kawasan bandar.

Johor dan Pulau Pinang masing-masing di tangga teratas dalam carta sungai tercemar di negara kita dan kebanyakannya terletak dalam kawasan pembangunan pesat serta industri berat.

Cukuplah Sungai Tukang Batu di Johor menjadi satu-satunya sungai di Malaysia Kelas V iaitu tercemar teruk. Usah ditambah lagi bilangan sungai berstatus sepertinya pada masa hadapan.

Sungai adalah nikmat alam yang amat mahal dan tidak mampu ditebus dengan wang ringgit apabila sudah musnah. Cintailah sungai kita.

MOHD. ZAINI OTHMAN

Pegawai Tadbir USIM