Lebih pelik lagi apabila tiba-tiba seorang pemimpinnya, Lim Kit Siang yang terperangkap semalaman akibat tidak dapat keluar dari sebuah perkampungan Orang Asli pada malam tahun baharu baru-baru ini akibat jalan becak, mempersoalkan keberkesanan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu. Sedangkan, projek jalan tersebut yang jika dibina dan siap, boleh memanfaatkan kira-kira 4,000 Orang Asli di kawasan tanah tinggi itu.

Kit Siang seolah-olah sama ada tidak tahu atau tidak mahu tahu mengenainya. Yang beliau tahu ialah ketidakselesaannya pada malam tahun baharu itu di sebuah kampung yang terpencil, lalu terus menulis dalam laman Twitter miliknya tentang kononnya kegagalan dasar-dasar kerajaan BN sebelum ini bagi memajukan masyarakat Orang Asli.

Asalnya, projek pembinaan jalan Pos Betau - Pos Lenjang diminta oleh Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau datang ke Tanah Rata bagi merasmikan mesyuarat UMNO bahagian tersebut pada 27 Ogos 2016 lagi. Ekoran itulah, Najib telah meluluskannya dengan peruntukan kira-kira RM15 juta, yang menunjukkan sikap ambil berat Kerajaan Persekutuan di bawah BN ketika itu kepada permasalahan Orang Asli. Bagaimanapun, belum sempat projek tersebut dibangunkan, kerajaan PH mengambil-alih pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas, lalu menghentikannya.

Maka sangat tepatlah apabila Wan Rosdy yang kini Menteri Besar memberi reaksi kepada Twitter oleh pemimpin PH dari DAP itu meminta Kerajaan Persekutuan menghidupkan kembali projek jalan Pos Betau-Pos Lenjang.

Sebagai contoh, Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, penduduknya boleh dikatakan mendapat layanan istimewa kerana dapat menghuni dalam rumah-rumah batu yang moden dengan tiga bilik tidur setiap satu yang tapaknya kekal terletak di kawasan bukit di situ. Kesemua 200 rumah ini dibina pada Mac 2015 dan Orang Asli di situ mula menghuninya sejak Mac 2016. Kerajaan Persekutuan pimpinan BN ketika itulah juga yang telah sanggup berbelanja kira-kira RM44 juta untuk projek pembinaan rumah-rumah ini yang sebelumnya (pada 2012) di atas tapak sama, telah berlaku kejadian tanah runtuh.

Selain Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, sejak 1980 lagi yakni di bawah Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980) lagi, Kerajaan Persekutuan BN telah memperkenalkan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) melibatkan masyarakat Orang Asli seluruh negara. RPS diperkenalkan untuk mengumpul Orang Asli ke satu kawasan yang disediakan kediaman dilengkapi prasarana asas, dan juga projek ekonomi seperti program tanaman komersial kelapa sawit dan getah.

Sebanyak 17 RPS diwujudkan dan yang terbanyak ialah di Pahang, tujuh (7) buah meliputi RPS Betau dan RPS Terisu dalam Parlimen Cameron Highlands; Kedaik, Buluh Nipis dan Bukit Serok di Rompin; Runchang di Pekan; dan Iskandar di Bera.

RPS ini pula ialah selain daripada 256 lagi perkampungan Orang Asli yang turut dibantu di negeri ini yang menjadi tempat menghuni kira-kira 78,636 orang daripada kira-kira 17,982 keluarga atau Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli. Jumlah ini (78,636 orang) ialah hanya kira-kira 5.24 peratus daripada keseluruhan penduduk Pahang seramai 1.5 juta orang. Ia juga kira-kira sekali ganda jumlah penduduk daerah Cameron Highlands seramai 39,471 orang.

Sungguhpun jumlah ini kecil lalu tergolong sebagai golongan minoriti, kebajikan apatah lagi hak-hak mereka terus terpelihara di bawah Kerajaan Persekutuan BN terdahulu, apatah pula kerajaan negeri Pahang yang masih di bawah pimpinan BN ini. Paling asas, masyarakat Orang Asli secara terus-menerus dilibatkan sama dalam program-program pembangunan sosioekonomi setempat terutamanya yang berkaitan dengan tanah dan pertanian.

YOPE KEY-DARE,

Kuantan