Berdasarkan kepada soal jawab bertulis nombor 44 dalam Persidangan Dewan Rakyat Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin kepada Perdana Menteri bertarikh 28 Mac 2019, dan penjelasan dari Tabung Haji bertajuk, Briefing on Lembaga Tabung Haji – Findings, Action Taken and Plan Moving Forward - diambil perhatian.

PAS menuntut penjelasan daripada pihak Tabung Haji berhubung hartanah
PAS menuntut penjelasan daripada pihak Tabung Haji berhubung hartanah 

Berdasarkan kepada kedua-dua sumber tersebut, aset hartanah yang telah dipindahkan kepada SPV Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. adalah sebanyak 29 unit yang meliputi tanah, hotel, pejabat, bangunan komersial dan bangunan kilang.

Jumlah nilai buku aset hartanah ialah RM 1.41 bilion, manakala nilai perpindahan berjumlah RM 2.24 bilion.

Terdapat beberapa perkara yang perlu dijelaskan oleh Tabung Haji mengenai hartanah yang dipindahkan tersebut, iaitu adakah 29 unit hartanah yang dipindahkan terutama tanah memberikan pulangan (yield) kurang 2 % setahun untuk jangka pendek dan jangka panjang?

Adakah pindahan hartanah terutamanya tanah kepada SPV mengambil kira potensi anggaran nilai pembangunan kasar yang akan dibangunkan oleh Tabung Haji?

Merujuk kepada Plan Moving Forward yang dikemukakan oleh Tabung Haji, adakah semua unit hartanah yang dipindahkan akan dijual?

Pas menuntut satu penjelasan terbuka dari pihak Tabung Haji berhubung hartanah yang telah dipindahkan kepada SPV Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. untuk meleraikan kebimbangan dalam kalangan umat Islam di Malaysia. 


NASRUDIN HASSAN

Ketua Penerangan Pas Pusat