Abdullah juga mengumumkan salah satu teras dasar tersebut iaitu penubuhan Perbadanan Bioteknologi Malaysia yang akan bertanggungjawab mengepalai pembangunan sektor berkenaan.

DBN merupakan satu rangka rancangan jangka panjang selama 15 tahun untuk dilaksanakan dalam tiga fasa seiring dengan matlamat Wawasan 2020. Fokus utama DBN menjurus kepada tiga aspek pengkhususan utama iaitu bioteknologi pertanian, penjagaan kesihatan dan perindustrian.

Pada fasa pertama, DBN (2005-2010) memfokuskan kepada pembangunan keupayaan, penjanaan pekerjaan dan pembangunan kemahiran dalam tiga sektor iaitu bioteknologi pertanian, bioteknologi penjagaan kesihatan dan industri bioteknologi.

Bagi fasa kedua (2011-2015), Sains Kepada Bisnes, fokus tertumpu kepada integrasi teknologi berasaskan bio kepada rantaian nilai sedia ada pembangunan modal insan dan kemahiran serta pengkomersialan produk penyelidikan dan pembangunan.

Selain itu, fokus tertumpu kepada program menggalakkan pelaburan dari dalam dan luar negara dalam bidang pertanian, penjagaan kesihatan serta industri.

Kini memasuki fasa ketiga bermula 2016 sehingga 2020 dengan Bisnes Global menjadi keutamaan menjadikan Malaysia memainkan peranan penting dan industri berasaskan bio.

Untuk melengkapkan bekalan tenaga mahir bagi memenuhi kehendak industri, banyak institusi pengajian tinggi awam serta swasta menawarkan kursus Sains Bio dan Bioteknologi.

Setiap tahun, beribu graduan dalam bidang ini dikeluarkan di peringkat diploma sehinggalah doktor falsafah. Kerancakan perkembangan industri bioteknologi pada awal penubuhan DBN sehingga 2016 menyumbang kepada peningkatan permintaan pelajar jurusan-jurusan ini.

Kewujudan kilang-kilang serta industri biotek juga membuka peluang pekerjaan kepada pelajar lepasan jurusan ini. Namun kini industri biotek semakin suram serta fungsi Perbadanan Bioteknologi Malaysia juga tidak seaktif dahulu.

Tidak kedengaran lagi projek-projek mega baharu dalam industri biotek serta tiada khabar berita mengenai status terkini industri biotek tempatan. Hal ini telah memberikan impak kepada penurunan minat pelajar untuk mengambil jurusan berkaitan biotek.

Terdapat institusi berhadapan masalah kekurangan pelajar dalam bidang ini yang serius. Masa depan para graduan lepasan bidang ini amat membimbangkan.

Jika industri biotek tidak berkembang, maka lambakan tenaga mahir dalam bidang ini akan berlaku dan perkara ini amat memilukan.

Negara-negara maju menjadikan industri biotek sebagai fokus utama bagi memacu ekonomi mereka dan Malaysia harus kembali kepada landasan asal yang telah dibina kukuh sebelum ini bagi memastikan kita tidak ketinggalan. Diharapkan kerajaan memandang serius permasalahan ini serta mengambil tindakan sewajarnya.

AHLI BIOTEKNOLOGI NEGARA

Kuala Lumpur