Tiada lagi isu kafir-mengkafir atau berlainan mazhab kerana sekarang pemimpin-pemimpin Melayu yang menerajui pelbagai parti mulai sedar bahawa pegangan agama kita adalah sama iaitu berpegang dengan aliran Ahli Sunnah Waljamaah dan semuanya bermahzabkan Syafie.

Jadi, mengapa kita perlu berselisih faham dan bermasam muka kerana tiada sebab untuk kita berbuat demikian.

Begitu juga setiap parti politik yang dipimpin oleh orang Melayu boleh dikatakan berikrar untuk memperjuangkan bangsa dan pada masa sama mahu mengekalkan perpaduan dengan kaum-kaum lain.

Semua pemimpin Melayu juga ingin membanteras rasuah habis-habisan dan agenda seterusnya memperjuangkan nasib orang Melayu agar tidak ada lagi keluarga yang hidup miskin papa kedana.

Kalau semua pemimpin parti-parti yang diterajui oleh orang Melayu ini mempunyai matlamat dan perjuangan sama, maka tiada sebab untuk kita bercakaran sesama sendiri lagi.

Berjuanglah untuk menjadikan negara kita ini makmur dan hidup aman damai dan pastikan semua rakyat menikmati sama rata dan sama rasa kekayaan negara.

Kita mampu melakukannya kalau sifat jujur dan amanah serta bertanggungjawab ada dalam jiwa setiap pemimpin Melayu. Mana-mana pemimpin yang cuba menyeleweng atau cuba memecahkan perpaduan Melayu ataupun cuba untuk melaga-lagakan dengan kaum-kaum, kita singkirkan segera, tidak kira siapa atau apa juga kedudukan mereka dan jadikan ia sebagai syarat utama demi memastikan keamanan dan kemakmuran negara kita dikekalkan.

Peribahasa kita menyebut, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat dan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh sebagai ingatan yang baik untuk kita jadikan panduan.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN
Ampangan, Seremban