Tetapi pernahkah menteri terfikir untuk mengiktiraf institusi pendidikan agama seperti pusat tahfiz atau setidak-tidaknya selaraskan satu mekanisme pendidikan untuk sekolah agama di Malaysia?

Pernah saya bertanya kepada seorang pelajar tahfiz, adakah kamu belajar bahasa Melayu? Jawabnya; ''tidak''. Bukan itu sahaja, sejarah negara juga tidak pernah mereka pelajari. Tidakkah menteri melihat ini sebagai suatu yang perlu digusarkan?.

Malah, anak-anak dari madrasah ini kadangkala disuruh berniaga demi menyara kehidupan mereka dan bagi memastikan pelajaran mereka dapat diteruskan.

Jika ditanya soalan mudir dan guru di madrasah tahfiz ada kalanya tiada gaji selama berbulan tetapi atas dasar agama dan ilmu mereka bertahan setia mencurah ilmu.

Justeru, mengapa hanya menjanjikan keselesaaan dan bajet yang tinggi sahaja jika penyelarasan kurikulum dan pelajaran asas di semua institusi pendidikan di Malaysia tidak lagi mampu dicapai?

Penubuhan institusi pendidikan agama di Malaysia adalah perkara yang mulia dan bertujuan melahirkan ilmuan dan agamawan berwibawa dalam segenap bidang.

Namun, apabila dilihat kepada situasi institusi ini berdiri sendiri tanpa sokongan atau pengiktirafan, maka timbul pebagai persoalan mengenai masa depannya.

Kewujudan institusi tahfiz ini juga sering dipandang rendah oleh sesetengah masyarakat.

Meskipun begitu, institusi pendidikan agama adalah termaktub dalam Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu, pembentangan Bajet 2019 yang akan datang ini diharap dapat menjadi titik-tolak untuk menteri duduk satu meja dengan pihak yang terlibat. Mulalah melihat kepentingan pengiiktirafan institusi pendidikan agama ini di peringkat nasional.

NURHANANI BASRI

Perlis