Barangkali beliau beranggapan apabila disebut ketuanan atau tuan, maka adanya hamba atau hamba abdi. Kenyataan dangkal ini semata-mata menagih kepentingan politik. Bertujuan mengambil hati rakyat bukan Melayu, kononnya orang Melayu tidak lagi menjadi tuan.

Semua rakyat adalah sama dan diberi hak kesamarataan. Tiada sesiapa memiliki keistimewaan. Dari sudut bahasa, pengertian ‘tuan dan ketuanan’ jauh berbeza. Maksud tuan barangkali ramai yang tahu. ‘Hamba itu ada tuannya’.

Tapi apabila disebut ketuanan, kenapa ada yang keliru? Bagaimana dengan perkataan ‘perhambaan’? Apakah ianya boleh dimaksudkan hamba abdi atau hamba sahaya?

Untuk penjelasan, perkataan ‘ketuanan dan perhambaan’ memberi maksud jalinan keakraban antara raja dan rakyat. Istilah Ketuanan Melayu, bukan bererti orang Melayu menjadi tuan dan kaum lain menjadi hamba.

Dalam Perlembagaan Negara tidak pun disebut perkataan ini. Ketuanan Melayu hanyalah simbolik kepada kedaulatan raja-raja Melayu. Tidak timbul siapa tuan siapa hamba.

Kalau dipanggil hamba sekali pun, apa salahnya? ‘Saya dan kamu hamba Allah. Kita semua hamba rakyat’. Tentu amat malang, sekiranya istilah Ketuanan Melayu ‘dipadamkan’ sehingga orang Melayu pula menjadi hamba di tanah air sendiri.

Dalam sejarah peradaban tamadun Melayu sejak dari zaman kesultanan Melaka dan kerajaan Johor Tua, perkataan ‘tuan’ dan ‘hamba’ diguna pakai. Tuan sebagai ganti nama pihak kedua. Manakala perkataan hamba sebagai ganti nama saya atau aku.

Supaya lebih santun, digabungkan dua perkataan itu menjadi ‘tuan hamba’. Di negeri Kelantan, perkataan hamba (ambo) masih diguna pakai. Jadi, apakah di negeri Cik Siti Wan Kembang itu masih ada hamba?

Pada zaman Rasulullah SAW hingga ke awal kebangkitan Islam, orang yang bertaraf hamba atau hamba sahaya memang wujud. Sebab itu adanya kifarah dalam Islam bagi menebus kesalahan tertentu disyaratkan membebaskan seorang hamba.

Ini boleh dijadikan hujah, Ketuanan Melayu ada rangkaian dengan perkembangan Islam. Tapi tidaklah membawa maksud orang Melayu tuan dan bangsa-bangsa lain hamba.

Dalam konteks Malaysia, negara yang masih mengamalkan sistem pemerintahan beraja, sesiapa yang mempersoal istilah Ketuanan Melayu bererti menafikan kuasa raja-raja dan dianggap derhaka.

Mungkin menteri muda itu tidak tahu, mengikut hukum Kanun Pahang, sesiapa yang derhaka kepada raja boleh dihukum dengan dibenamkan di bawah titi.

CUCU TOK WOH

Chenor, Pahang