Apakah Aziz adalah sebahagian daripada games plan Tun Dr. Mahathir Mohamad-Tun Daim Zainuddin untuk terus memecah-belahkan perpaduan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?

Aziz amat melampau kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum pun membuat sebarang pendakwaan atas fitnah ‘utama’ kononnya Najib mencuri RM2.6 bilion duit 1MDB. Maka apa asas Aziz untuk menuduh Najib telah bersalah dan mesti meminta maaf?

Beliau sudah mendahului mahkamah kerana menjatuhkan hukuman bersalah kepada Najib sedangkan 38 pertuduhan yang sedia ada pun tidak ada kaitan dengan tuduhan mencuri duit 1MDB.

Ini amat teruk kerana beliau menuduh Najib seorang penipu. Kecuali dia menafikan dia bukan ‘Awang Selamat’. Kenapa ini berlaku? Apakah Aziz tanpa pengetahuan sesiapa turut disiasat oleh SPRM menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) atau tax evasion?

Strategi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini ialah mengugut sesiapa sahaja yang dianggap penting kepada UMNO. Aziz adalah Pengerusi Eksekutif/Ketua Pengarang Utusan Malaysia, akhbar milik UMNO yang amat dibenci oleh PH.

Aziz sudah sama dengan PH yang bimbang populariti Najib akan melenyapkan fitnah bahawa kekalahan Barisan Nasional (BN) di PRU-14 kerana faktor 1MDB. Bukan kerana janji 100 hari dan kemunafikan Kerajaan PH yang bijak berbohong.

Aziz boleh menafikannya, tetapi dia mesti sedar bahawa tindakannya itu menguntungkan PH dan mengelirukan ahli UMNO. Tindakan Aziz menggunakan ruangan pojok Utusan, Awang Selamat untuk menyelar Najib sebagai penipu kebetulan berlaku sehari selepas Najib mengadakan sembang santai Facebook di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Berdasarkan program tersebut, ternyata Najib tetap popular dan disenangi oleh golongan muda yang dahagakan jawapan kepada berbagai isu yang melanda pentadbiran Kerajaan PH hari ini. Terkini viewers video program tersebut ialah 602,656 penonton.

Apakah adil Aziz menggunakan temu bual Najib bersama Marry Anne Jolley dari Al-Jazeera untuk membuat kesimpulan bahawa Najib adalah bersalah?

Semua tahu Marry pernah dihalau dari Malaysia pada tahun 2015 kerana sikap hipokrit beliau. Lihatlah soalan beliau yang cuba mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Kalau Aziz mahu memelihara profesionalisme kewartawanan Utusan, dia sepatutnya menghantar wakil Utusan pula menemu bual Najib terutamanya apa maksud Najib dia tidak boleh semak sumber dana politik yang masuk ke akaun peribadi beliau.

Sedangkan Najib juga sudah memuat naik enam printscreen dokumen ke dalam Facebook beliau pada 10 September lalu. Ia bukti sumber dana politik yang beliau terima.

Bahkan apa salahnya Aziz hantar wakil Utusan menemui Menteri Luar Arab Saudi yang pernah membuat kenyataan bahawa dana itu adalah tulen daripada Raja Arab Saudi? Kenyataan Saifuddin Abdullah baru-baru ini tidak boleh pakai kerana itu bukan keluar daripada mulut Menteri Luar Arab Saudi sendiri.

Bahkan pada penghujung tahun 2015, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah menyatakan dia telah berjumpa sendiri keluarga penderma.

Justeru, Aziz perlu meminta maaf kepada Najib kerana terlalu gopoh membuat kesimpulan. Kalau dia enggan maka eloklah ahli UMNO ‘memboikot’ Utusan.


MOHD. PUAD ZARKASHI