Saranan untuk sebuah akta khusus mengenai perkara terbabit adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negara kita.

Sekiranya mana–mana ADUN atau ahli Parlimen mengambil tindakan sesuka hati mereka dengan melompat parti atau mengosongkan kerusi yang telah dimenangi tanpa sebarang sebab munasabah, ini akan menyebabkan negara kita berada dalam keadaan politik yang tidak menentu.

Sekiranya keadaan politik negara kita tidak menentu, ia pasti memberi impak terhadap pertumbuhan ekonomi dan pembangunan dalam negara kita.

Apa yang paling penting melalui cadangan akta berkenaan ialah untuk melindungi kepentingan dan kepercayaan rakyat yang telah memberi undi terhadap ahli politik yang dilantik melalui proses pilihan raya.

Perlu diketahui, adalah sukar untuk cadangan akta terbabit dilaksanakan pada masa kini kerana ia dilihat bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan kebebasan kepada semua rakyat Malaysia.

Pada masa sama, sudah terdapat kes mahkamah yang jelas terhadapnya. Pada April 1992, Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan kini) ketika itu dalam kes Nordin bin Salleh v Dewan Undangan Negeri Kelantan, memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota Dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusinya adalah bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Walaupun terdapat kes mahkamah mengenai isu terbabit tetapi perlu diketahui bahawa pihak Mahkamah Persekutuan juga mempunyai kuasa untuk mengubah keputusannya sendiri.

Mahkamah Persekutuan boleh diberi peluang 
untuk mengkaji semula keputusan kes Nordin bin Salleh itu serta mendapat satu bentuk perundangan yang baharu terhadap isu lompat parti dan pengosongan kerusi 
tanpa sebab yang munasabah ini.

Proses pengkajian ini bukanlah satu perkara yang baharu. Proses ini boleh dilihat di dalam kes Adorna Properties lwn Boonsom Boonyanit, di mana keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2000 telah dikaji semula oleh Mahkamah sama pada 2010.

Banyak negara sudah memperkenalkan undang-undang ini kerana implikasinya yang besar.

HAMBA ALLAH

Kuala Lumpur