Serangan virus itu akan menyebabkan keradangan otak pada manusia dan mamalia lain.

Gejala awal termasuk demam dan kemudiannya diikuti satu atau lebih simptom berikut iaitu pergerakan ganas, keseronokan tidak terkawal, takut kepada air, kekeliruan dan kehilangan kesedaran.

Apabila semua gejala itu muncul, pesakit akan menghampiri tahap kritikal yang selalunya menyebabkan kematian.

Rabies disebabkan oleh lyssavirus. Jangkitan tersebar apabila haiwan dijangkiti menggigit haiwan atau manusia lain. Air liur daripada haiwan dijangkiti juga boleh menyebarkan virus jika bersentuhan dengan mata, mulut, hidung atau darah binatang dan manusia lain.

Di seluruh dunia, lebih daripada 99 peratus kes jangkitan itu disebabkan oleh gigitan anjing.

Pada manusia, diagnosis rabies dibuat dengan menguji sampel air liur, darah, cairan tulang belakang dan kulit. Pelbagai jenis ujian mungkin perlu dibuat bagi mengesahkan jangkitan berkenaan.

Kita sudah semestinya ingin mengetahui apakah rawatan untuk rabies kerana virus berkenaan boleh dikawal dan disekat?

Rawatan akan disyorkan jika doktor atau pegawai kesihatan mendapati seseorang itu atau binatang terdedah kepada haiwan berpotensi menghidap penyakit anjing gila.

Sekiranya yang disyaki dijangkiti adalah haiwan peliharaan tetapi belum menunjukkan simptom penyakit itu, binatang berkenaan akan diasingkan dan diperhatikan selama 10 hari.

Antara faktor yang meningkatkan syak haiwan berpotensi menghidap rabies adalah apabila menggigit ketika tidak berlaku provokasi.

Jika gigitan berlaku ketika manusia tidak berinteraksi dengan haiwan berkenaan seperti menyentuh atau sedang memberi makan, ini meningkatkan kemungkinan bahawa haiwan itu menghidap penyakit anjing gila.

Elak juga terdedah kepada gigitan kelawar atau air liur haiwan berkenaan. Sekiranya berlaku pendedahan berpanjangan kepada kelawar seperti tidur di dalam bilik di mana binatang itu ditemui maka tindakan segera perlu diambil bagi mencegah penyebaran penyakit berkenaan.

Memandangkan rabies adalah penyakit maut, sering kali langkah terbaik adalah untuk melakukan suntikan vaksinasi sebanyak beberapa kali kepada individu disyaki terkena penyakit anjing gila.

Yang pertama adalah suntikan imun globulin secara rawak yang membantu mencegah virus daripada menjangkiti setiap individu. Sebahagian daripada imunisasi ini diberikan berhampiran kawasan gigitan haiwan yang disyaki menghidap penyakit berkenaan.

Ini diikuti oleh empat suntikan dalam tempoh dua minggu selepas itu. Ini adalah vaksin rabies untuk membantu tubuh melawan virus berkenaan.

Dalam pada itu, antara langkah berjaga-jaga lain yang perlu dibuat adalah kucing peliharaan harus diberikan suntikan antirabies.

Bagi yang beragama Islam, hendaklah mengelak daripada memelihara anjing kerana peratus tertinggi wabak rabies berasal daripada haiwan itu.

Sebenarnya, amat bertepatan sekali ajaran Islam yang melarang umatnya memelihara anjing melainkan untuk dijadikan haiwan pemburu, membantu operasi menyelamat serta menjaga keselamatan rumah dan ladang. Binatang berkenaan perlu diasingkan.

DR. NORZAIDI ZAKARIA

Biro Media Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim)