PERKAHWINAN pada usia yang sesuai adalah impian setiap pasangan dan tiada wanita yang mahu digelar andartu jika masih belum bertemu jodoh. GAMBAR HIASAN

Gelaran anak dara tua atau andartu menjadi antara label paling digeruni wanita dan perlu diakui semakin ramai wanita tempatan menjadi andartu hingga ke akhir hayat.

Pengalaman kerja saya dalam industri makmal perubatan juga berdepan situasi serupa dengan ramai tidak berkahwin walaupun sudah putus haid, bukannya kerana tidak mahu berkahwin tetapi bidang tugas yang tidak banyak bergaul dengan orang luar.

Ini jelas berbeza dengan golongan jururawat dan doktor yang rata-ratanya menemui jodoh ketika belajar ataupun selepas bekerja sedangkan ‘andartu makmal’ tidak kurang cantik dan ‘mantap’.

Isu andartu juga perlu dikaji seperti mana isu ibu tunggal mendapat perhatian kerajaan selama ini kerana lumrah manusia mahu hidup berpasangan dan mempunyai tempat berteduh serta menumpang kasih.

Sampai masanya kita mengakui Malaysia sudah berdepan masalah sama seperti di banyak negara lain iaitu nisbah lelaki jauh lebih rendah berbanding wanita.

Walaupun tiada angka rasmi, boleh dilihat dalam kebanyakan industri malah di peringkat pelajar universiti sendiri yang ‘dikuasai’ wanita berbanding lelaki.

Jika hanya disebabkan polarisasi kelayakan pendidikan yang mengurangkan bilangan lelaki dalam sesuatu sektor, kenapa tidak banyak sektor lain yang ‘melimpah’ dengan ‘anak jantan’?

Ini menyebabkan semakin ramai wanita yang takutkan gelaran andartu memilih berkahwin dengan lelaki kaum lain mahupun warga asing. Itu belum mengambil kira masalah mak nyah dan gay yang semakin menular, begitu juga peningkatan perkahwinan lelaki tempatan dengan wanita warga asing.

Poligami juga boleh menjadi pilihan tetapi persepsi negatif yang menebal di negara ini menyebabkan ramai lelaki dan wanita tidak berani mencuba sekalipun berkemampuan.

Saya harap isu ini mendapat perhatian sewajarnya pihak berwajib, sedih saya melihat begitu ramai wanita yang hidup berseorangan selepas ibu bapa meninggal sedangkan adik-beradik dan saudara-mara semuanya sudah berkeluarga.

BEKAS ANDARTU

Pontian, Johor