PADA 4 November lalu, kira-kira pukul 8.20 pagi, seorang warga emas dilanggar motosikal di Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor.

Penduduk cuba mendapatkan ambulans di Klinik Bandar Seri Putra yang terletak lima minit berkereta dari lokasi kejadian, bagaimanapun hampa setelah dimaklumkan pengawal keselamatan di situ bahawa tiada kenderaan untuk tugasan on call kerana klinik itu tidak beroperasi pada hujung minggu dan kejadian berlaku pada hari Sabtu.

Akhirnya ambulans tiba pada pukul 9.45 pagi. Saya difahamkan bantuan sampai selepas anggota polis yang tiba di lokasi kemalangan membuat permohonan ambulans dari Hospital Serdang dan Hospital Kajang.

Saranan saya, setiap klinik kesihatan harus menyediakan perkhidmatan ambulans pada bila-bila masa terutama di kawasan penduduk berkepadatan tinggi seperti Bandar Seri Putra yang mempunyai lebih 50,000 penduduk.

RAKYAT MARHAEN

Putrajaya