Mereka berjual berhampiran kawasan sekolah walaupun kita cukup maklum bahawa lokasi tersebut adalah kawasan larangan buat penjaja. Lebih dikesalkan antara barangan yang dijual ialah barang mainan.

Saya difahamkan pihak sekolah pernah menegur tindakan peniaga-peniaga tersebut, namun begitu teguran itu langsung tidak diendahkan. Para peniaga ini dilihat begitu kebal sehinggakan tiada pihak yang berani mengambil tindakan. Isu ini terpaksa diketengahkan kerana para peniaga berkenaan dilihat mengambil kesempatan dengan menjadikan anak-anak kita sebagai sasaran. Sememangnya peniaga-peniaga tersebut cukup bijak untuk meraih keuntungan dengan menjual barang-barang mainan sebagai daya tarikan kepada anak-anak ini untuk membelinya.

Pernah juga dimaklumkan oleh anak saya sendiri yang mana terdapat kawan-kawannya yang sanggup berlapar dengan tidak menyentuh wang saku yang diberikan oleh ibu bapa semata-mata mahu membeli barang mainan di luar sekolah.

Sedangkan tujuan wang itu diberikan adalah untuk mereka membeli makanan di kantin dan bukannya membeli barang mainan. Bagaimana mereka boleh fokus dalam pelajaran sekiranya belajar dalam keadaan lapar.

Berdasarkan pemerhatian saya, isu tersebut bukan sahaja berlaku di sekolah anak saya yang berada di Bandar Kinrara, Puchong sebaliknya berlaku di sebahagian besar sekolah rendah di Lembah Klang.

Sehubungan itu, saya amat berharap PBT terlibat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terutama di sekolah-sekolah yang berhadapan dengan isu serupa mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi isu berkenaan.

BAPA KESAL

Puchong, Selangor