SAYA mewakili penduduk di sepanjang Jalan Kuala Pegang, Parit Panjang di Baling merasa cukup terganggu dengan deruman kuat enjin motosikal yang ditunggang oleh anak-anak muda di sekitar kawasan ini. Secara jujurnya, kami sudah tidak tahan dengan keadaan ini kerana deruman enjin itu amat mengganggu kehidupan harian penduduk setempat.

Kehidupan kami bagaikan tidak lagi tenteram. Jika dahulu suasananya cukup aman dan tenang kini tidak lagi. Kami hidup dalam suasana yang bising dan amat membingitkan.

Bukan satu atau dua motosikal tetapi dalam bentuk kumpulan.

Kami sebenarnya tidak faham apa sebenarnya yang terbuku dalam jiwa anak-anak muda ini sehingga sanggup bertindak sedemikian. Mungkin masing-masing hendak tunjuk siapa yang boleh digelar sebagai hero.

Motosikal yang elok sengaja diubahsuai terutama di bahagian ekzos bagi memastikan bunyinya kuat daripada biasa.

Diharapkan pihak polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka.

Jangan biarkan keadaan ini berlarutan. Sekiranya tiada tindakan diambil kami khuatir tahap kesihatan penduduk di sepanjang Jalan Kuala Pegang akan terganggu ekoran terdedah dengan pencemaran bunyi yang serius.

IMLANAI MOTOR

Baling