Bagi saya, pendapat Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin wajar dipertimbangkan sebaik-baiknya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam isu itu, Mohd. Asri menegaskan bahawa memberi status ATST kepada anak yang sah dari perkahwinan mematuhi syarak adalah berdosa besar kerana seolah-olah menuduh orang berzina.

Pernikahan yang sah dari segi syarak walaupun di luar negara wajar diiktiraf di samping tidak melabelkan anak yang lahir itu dengan ATST kerana pertimbangan utama di sini adalah hukum Allah berbanding peraturan manusia.

Justeru saya mahu pihak Jakim tampil membuat penjelasan secara terbuka berhubung rasional label ATST yang diberikan kepada bayi daripada pasangan yang bernikah di Selatan Thailand sedangkan mereka bernikah di majlis agama yang diiktiraf oleh institusi itu.

Saya juga berharap pihak terbabit menjelaskan apa sebenarnya fungsi pengesahan perkahwinan di Konsulat Malaysia di Songkhla dengan bayaran RM700 itu seandainya kerajaan sendiri tidak mengiktiraf pernikahan tersebut.

Dari sudut yang positif, pelaksanaan ATST kepada pasangan yang bernikah di Selatan Thailand ini adalah untuk menghukum pasangan terbabit kerana bernikah di luar negara tanpa izin.

Persoalannya, tiadakah mekanisme hukuman dalam bentuk lain yang menjurus kepada pasangan itu dan bukannya kepada anak mereka? Oleh itu, amat tidak adil untuk bayi itu menerima persepsi ‘anak zina’ daripada masyarakat sepanjang hayatnya kerana sijil lahir terpampang ‘Maklumat Bapa Tidak Diperoleh’

MUHAMMAD KHALID SAIFULLAH

Skudai, Johor