Sungguhpun pelbagai kempen telah dianjurkan namun Malaysia mempunyai kadar tertinggi diabetes di Asia dan antara yang tertinggi di dunia. Statistik ini tidak menghairankan kerana Malaysia mempunyai paling ramai penduduk yang obes serta mempunyai berat badan berlebihan.

Kira-kira 54 peratus penduduk dewasa di Malaysia kini sama ada obes atau mempunyai berat yang berlebihan, berbanding cuma 24.1 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu. Obesiti menjadi punca utama diabetes.

Menurut Persekutuan Diabetes Antarabangsa, terdapat hampir 3.5 juta kes diabetes di Malaysia pada 2017.

Tabiat penduduk Malaysia yang gemar memakan terlalu banyak gula menjadi salah satu faktor yang penyumbang kepada diabetes. Kita mengambil 21 sudu teh gula sehari dan penduduk Malaysia adalah antara pengguna gula tertinggi di dunia.

Diabetes amat berbahaya kerana ia boleh menjejaskan organ-organ penting dalam tubuh seperti jantung dan buah pinggang. Dalam pada itu, mengurus diabetes dengan berkesan memerlukan rawatan harian, pengawasan kerap, diet yang sihat dan perubahan dalam gaya hidup.

Di beberapa negara kos suntikan insulin dan pengawasan harian sahaja boleh menyebabkan sebahagian besar pendapatan penghidapnya habis begitu saja.

Kadar diabetes di Malaysia dijangka terus meningkat memandangkan gaya hidup penduduk yang tidak sihat serta diet tidak seimbang dan kurang berkhasiat. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah tegas untuk membendung wabak ini.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan meningkatkan pendidikan kepada rakyat mengenai bahaya obesiti, mengenakan cukai lebih tinggi terhadap gula dan makanan tidak berkhasiat.

Kemudahan rekreasi yang mencukupi perlu disediakan di semua kawasan kediaman dan pengeluaran lesen untuk restoran beroperasi 24 jam hendaklah dihentikan.

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP