Selain lawatan daripada keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan seperjuangan, Muhammad Adib boleh dianggap sebagai satu-satunya ‘pesakit’ yang mendapat liputan meluas oleh media massa dan kunjungan dalam kalangan orang kenamaan seperti Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Tidak ketinggalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Bukan calang-calang orang yang boleh menerima pelawat-pelawat seperti yang Muhammad Adib alami. Kalau Muhammad Adib ditakdirkan panjang umur, mungkin detik-detik sebegini akan terpahat di hati sanubarinya untuk selama-lama.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Adalah diharapkan pihak polis dapat mengenal pasti pembunuh yang bertanggungjawab ke atas kematian Muhammad Adib dan dihadapkan ke muka pengadilan. Al-Fatihah.

MOHD. FAIZAL ABDULLAH
Kuala Lumpur