Apabila Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengangkat tema ‘Pembangunan Lestari’ sebagai tema konvokesyennya tahun ini, penulis merasakan ia amat kena dengan situasi semasa. Atas segala bencana alam yang berlaku, kita perlu diperingatkan kembali bahawa keseimbangan kepada tuntutan pembangunan dan pada masa sama menunaikan hak pada alam sekitar wajib dititikberatkan. Allah SWT telah memberi ingatan keras di dalam al-Quran bahawa kerosakan bumi ini kerana tangan kita yang mentadbirnya dengan tidak cermat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Rum, ayat 41 yang bermaksud: “Telah muncul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (yang demikian itu) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari akibat perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat”.

Intipati ayat ini memberi peringatan kepada kita semua bahawa di sebalik kemuliaan kedudukan manusia sebagai khalifah Allah SWT yang diberi tanggungjawab untuk melestarikan khazanah sumber alam untuk manfaat makhluk di muka bumi merentas generasi, tetapi kita yang mengkhianatinya. Sebahagian daripada kita tidak sedikit pun merasa bersalah untuk melakukan pelbagai kerosakan di daratan dan di lautan.

Ayat ini juga dengan jelas memutuskan bahawa tangan manusialah yang menjadi asbab kerosakan ekosistem, kemusnahan sumber, pencemaran udara, ketidakstabilan iklim serta pelbagai fenomena alam yang mengancam kesinambungan hidupan di daratan dan lautan termasuk manusia sendiri. Atas sebab itu konsep pembangunan lestari perlu menjadi asas kepada setiap keputusan dan tindakan yang ingin kita buat.

Pembangunan lestari dan mapan dalam Islam penting kerana ia melibatkan hubungan manusia dengan alam sekitar dari aspek tauhid, melihat tanda-tanda kekuasaan Allah, tanggungjawab sebagai khalifah yang mentadbir urusan di dunia, menjaga amanah, berlaku adil dan menjaga keseimbangan alam sekitar (mizan) agar dapat memberikan manfaat dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Konsep pembangunan lestari unik kerana ia membawa rahmat kepada sekalian alam termasuk manusia, haiwan dan alam sekitar.

ZAINI OTHMAN

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)