Berikut adalah petikan asal kenyataannya dalam blog zamkata.blogspot.com;

“Saya harap Mujahid akan dapat memainkan peranan berani dan tegas untuk membawa umat Islam negara ini kepada realiti dan keperluan kepada sikap dinamik dan menolak kearaban sebagai keislaman. Pertama sekali langkah mesti diambil untuk menutup semua sekolah tahfiz di negara ini yang tidak memberikan harapan masa depan kepada generasi baharu Islam.

Cegahlah sekolah-sekolah aga­ma menjadikan pakaian Arab sebagai uniform sekolah. Galakkan memakai songkok, berseluar dan berkemeja. Cegah kopiah dan berjubah. Sunnah nabi tidak ada lagi dalam jubah yang telah pun dimodenkan oleh commercialism.”

Secara jujurnya, kenyataan Zainuddin atau lebih dikenali dengan Zam ini tidak boleh diterima oleh sebahagian besar masyarakat Islam. Sebab apa? Pertama, mahu menyekat kelahiran lebih ramai para huffaz de­ngan cara menutup pusat-pusat tahfiz seluruh negara. Kedua, menafikan sunnah melalui pemakai­an jubah oleh penuntut-penuntut tahfiz.

Penulis sebenarnya amat bersimpati dan kasihan dengan bekas menteri ini. Jelas yang beliau bercakap bukan atas dasar ilmu sebaliknya bersandar emosi dan hawa nafsu termasuk dalam soal berpakaian. Untuk pengetahuan Zam, terdapat banyak hadis terutama dalam kitab Syamail Muhammadiah yang mengisahkan betapa Rasulullah gemar memakai jubah atau qamis.

Antaranya, hadis daripada Um­mu Salamah; “Pakaian yang pa­ling disukai oleh Rasulullah SAW ialah qamis (ju­bah).”-Riwayat at-Tir­mizi.

Disebabkan ketiadaan ilmu dalam bab ini, sesiapapun tidak sewajarnya membuat tuduhan sewenang-we­na­ng­nya dengan me­nyatakan sunnah Rasulullah tidak ada lagi dalam jubah yang telah dimodenkan atas dasar komersial. Selagi mereka yang memakai jubah itu berniat untuk mengikut sunnah Rasulullah, insya-Allah ada ganjarannya di sisi Allah SWT.

Persoalannya, salahkah kita sebagai umat yang mencintai Rasulullah mengikut cara baginda berpakaian. Apatah lagi jika yang memakainya itu anak-anak yang sedang menghafaz kitab suci al-Quran. Zam seharusnya lebih berhati-hati dan cermat sebelum membuat apa-apa kenyataan lebih-lebih lagi jika ada kaitannya dengan agama.

Hakikatnya, Islam bukan diasaskan melalui emosi, tanggapan, persepsi, andaian atau agak-agak. Sebaliknya Islam diasaskan melalui disiplin ilmu yang mana sumber utamanya ialah al-Quran dan sunnah kemudian diikuti ijmak ulama dan qias.

Berbalik kepada saranannya agar kerajaan menutup sekolah tahfiz atas sebab tiada masa depan, alhamdulillah, Mujahid yang memegang port­folio agama da­lam Kabinet menolak cadangan yang dikemukakan itu. Itulah yang terbaik kerana pengajian tahfiz ada­lah cabang ilmu yang sepatutnya di­kem­bangkan lagi agar jumlah para ha­fiz yang terdapat di negara ini dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Memang tidak dinafikan wujud kelemahan di sana sini terutama yang membabitkan pusat tahfiz persendirian sama ada dari segi prasarana, sukatan pelajaran mahupun kebajikan, namun itu bukannya alasan yang memboleh­kan pusat atau sekolah tahfiz ditutup.

Sebaik-baiknya, kerajaan mem­buat penambahbaikan dengan me­lakukan bancian terhadap pusat-pusat tahfiz persendirian ba­gi memudahkan pemantauan dan bantuan diberikan. Usaha itu juga akan memudahkan lagi usaha menyeragamkan silibus yang melibatkan pusat pengajian tahfiz seluruh negara apatah lagi kita telah pun mempunyai Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).

Dengan menjadikan Darul Qu­ran milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai model, penulis yakin sistem pembelajaran yang membabitkan pengajian tahfiz akan lebih tersusun dan profesional.

Mungkin juga pihak Jakim dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) boleh memainkan lebih peranan untuk me­lakukan penambahbaikan antara lain turut membabitkan perkara berkaitan prasarana pusat pe­ngajian dan kebajikan penuntut-penuntut tahfiz.

Yang pasti, Zam tidak seha­rus­nya mempolemikkan isu ini sehingga mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat. Bahkan dalam akhbar dua tiga hari ini para mufti, cendekiawan Islam, ulama dan pertubuhan Islam bertindak mengecamnya.

Apapun Zam nampaknya tetap mempertahankan kenyataannya itu dengan mengemukakan pelbagai alasan antaranya kes tipu tanah, membuang masa, mempergunakan anak-anak tahfiz dan isu keselamatan.

Yang paling mengejutkan ialah alasannya mengenai kepercayaan sesetengah ibu bapa (termasuk yang profesional) yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz bahawa anak-anak hafiz ini akan membantu membasuh dosa mereka dan jika mati mayat tidak akan hancur.

Tidak tahulah apa sebenarnya niat Zam dalam perkara ini sehingga sanggup membuat tuduhan bukan-bukan. Kepada ibu bapa di luar sana, jangan marah atau berkecil hati dengan tuduhan ini kerana Allah lebih me­ngetahui apa niat sebenar kalian menghantar anak-anak melanjutkan pengajian di sekolah tahfiz.

Bagi penulis, sebagai pejuang bangsa, bahasa dan tokoh wartawan, banyak lagi isu yang boleh diketengahkan. Sebagai contoh, usaha sesetengah pihak yang mahu kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) melibatkan sekolah persendirian Cina.

Begitu juga dengan tindakan sesetengah pemimpin yang lebih mementingkan bahasa ibunda masing-masing daripada bahasa Melayu. Inilah yang Zam harus perjuangkan. Buktikan yang anda adalah pejuang sejati dengan mengangkat martabat bahasa Melayu pada kedudukan sewajarnya.

Jangan nanti orang akan me­ngenang saudara sebagai seorang tokoh yang pernah mendesak kerajaan menutup pusat tahfiz sehingga menjadi cemuhan masyarakat sehingga akhir hayat.