Tidak dapat dinafikan golongan kanak–kanak dan remaja mudah terpengaruh dengan aktiviti yang boleh membawa bahaya kepada diri serta orang sekeliling.

Antara kegiatan yang mudah untuk golongan bawah umur terjebak adalah pelacuran, penyalahgunaan dadah dan lumba haram. Kewujudan sebuah akta khusus dilihat penting bagi memastikan golongan bawah umur tidak terjerumus ke dalam sebarang aktiviti tidak berfaedah yang boleh membawa bahaya serta merosakkan diri sendiri.

Pada masa sama melalui pengenalan akta khusus berkenaan, satu tindakan keras boleh diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang mendedahkan golongan bawah umur kepada sebarang aktiviti bertentangan tatasusila.

Perlu diketahui juga, pengaruh negatif yang boleh mempengaruhi golongan kanak–kanak tidak lagi boleh dibendung melalui pagar dan pintu rumah lagi kerana adanya pelbagai teknologi moden.

Melalui akta yang dicadangkan, pelbagai penyelesaian terhadap masalah sosial dalam kalangan kanak–kanak dan remaja dapat dibendung serta memudahkan sebarang proses penguatkuasaan undang–undang bagi melindungi diri mereka daripada anasir jahat serta pengaruh negatif.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia