Biarpun laporan tidak menyebut pelajar terbabit daripada kaum mana, tetapi berdasarkan gambar, rata-ratanya kelihatan orang kita sendiri, Melayu! Sebagai Melayu beragama Islam, saya berasa sedih dengan ‘perkembangan’ anak bangsa sendiri yang semakin hebat dikaitkan dengan pelbagai gejala sosial.

Tidak dapat disangkal, kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi maklumat secara tidak langsung memberi kesan kepada pembangunan sosial dan insaniah remaja. Lebih-lebih lagi dalam zaman siber ini, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja semakin meruncing hingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Jika dahulu masalah sosial hanya berlaku di kawasan bandar yang membangun dan kota besar, kini masalah sosial turut menular di kawasan luar bandar. Penahanan 18 remaja berusia 15 dan 17 tahun yang dipercayai terlibat kumpulan kongsi gelap Geng 35 di daerah Kuala Muda, Kedah itu antara bukti gejala sosial dalam kalangan pelajar semakin berleluasa.

Dalam laporan-laporan akhbar dan media sebelum ini pun banyak memaparkan isu gejala sosial dalam kalangan remaja Melayu, antaranya terlibat kegiatan buli, merempit, dadah, mengandung anak luar nikah, pembuangan bayi dan sebagainya.

Statistik Kementerian Kesihatan pada tahun lepas mendedahkan sebanyak 3,980 kes iaitu 28.8 peratus daripada 13,831 remaja yang mengandung anak luar nikah berusia sekitar 10 hingga 19 tahun, manakala Polis Diraja Malaysia pula menyatakan sebanyak 432 kes pembuangan bayi telah direkodkan sejak 2011 hingga Jun 2015.

Natijahnya, masalah berlaku disebabkan orang Melayu kini semakin hilang pedoman dan jati diri. Perkara itu diakui Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang bimbang dengan keruntuhan budaya dalam budaya masyarakat Melayu hari ini setelah mengabaikan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Sejak sedekad lalu, kesopanan dan nilai murni yang sering diterapkan dalam diri setiap lapisan masyarakat khususnya remaja dilihat semakin hilang ditelan zaman. Hal ini berlaku berikutan perkembangan arus teknologi tanpa sempadan yang sedikit sebanyak telah menghapuskan warisan Melayu.

Remaja kini dilihat bebas mengakses laman-laman web pornografi menerusi media sosial apatah lagi tanpa pengawasan ibu bapa dan orang dewasa.

Selain itu, latar belakang agama juga dikenal pasti punca remaja terdorong melakukan maksiat dan sebagainya. Hal itu disebabkan sesetengah keluarga Islam dilihat cenderung menerapkan unsur-unsur Barat dalam kehidupan seharian dan pergaulan bebas adalah perkara biasa bagi mereka.

Masalah keruntuhan akhlak remaja ini bukan perkara kecil dan jika tidak ditangani mereka akan menjadi liabiliti kepada negara pada masa depan. Siapa akan meneruskan legasi kepemimpinan negara jika bukan mereka?

Ingatlah, ini bukan masalah kecil yang boleh diselesaikan sekadar hanya menuding jari terhadap pihak-pihak tertentu. Kita sedia maklum, segelintir ibu bapa misalnya cenderung menyalahkan pihak kerajaan kerana membenarkan pengajian seks di sekolah rendah dan menengah. Tidak kurang juga sikap sesetengah pihak menyalahkan ibu bapa dalam mendidik anak. Untuk menangani masalah ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak. Selain itu, tiba masanya masyarakat memainkan peranan sewajarnya termasuk ‘menjaga tepi kain orang’. Budaya sedemikian biarpun nampak seperti menceroboh privasi seseorang namun dalam jangka masa panjang mampu mengekang gejala sosial kerana masyarakat menjadi lebih prihatin dengan persekitaran.

Perkara berkaitan itu ada dinyatakan dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang yang beruntung.”

Ayat tersebut menjelaskan tentang kepentingan dan peranan seseorang anggota masyarakat melalui konsep saling berpesan antara satu sama lain. Selain usaha serius dilakukan kerajaan dalam membendung gejala sosial yang semakin merebak dalam kalangan remaja Melayu itu, pengawalan ketat daripada ibu bapa juga penting dalam mendidik dan menerapkan budaya Melayu dalam diri permata hati mereka. Kesimpulannya, semua pihak perlu bertanggungjawab melahirkan generasi Melayu cemerlang dengan akhlak dan insaniah yang baik.

NURUL HUSNA ROSIDI

Universiti Sains Islam Malaysia