Bagaimanapun, rakyat Malaysia terutama penyokong tegar Pakatan Harapan harus ingat bahawa penurunan harga minyak sekarang bukanlah disebabkan kepakaran kepemimpinan kerajaan untuk menurunkan harga.

Tetapi ia adalah berdasarkan penurunan harga minyak di pasaran dunia. Harga minyak dunia sekarang turun dari AS$82 pada Oktober kepada AS$60 pada Disember 2018. Terkini, harga minyak setong adalah sekitar AS$50.

Berdasarkan kenyataan media Kementerian Kewangan bertarikh 4 Januari 2019, harga runcit RON95 turun 27 sen kepada RM1.93 seliter.

Jadi benarlah rakyat telah membayar hampir 30 sen seliter sebagai ‘cukai minyak’ kepada kerajaan sejak November 2018.

Kerajaan sebenarnya mempunyai masa selama dua bulan untuk memberitahu rakyat dan mengurangkan beban orang ramai dengan menurunkan harga RON95 di stesen minyak, tetapi memilih diam membisu dan menindas rakyat.

Namun begitu, rakyat bernasib baik apabila mereka masih ada parti pembangkang yang mengutarakan hal ini secara matang dan berfakta kepada kerajaan.

Oleh itu, tahniah kepada kerajaan kerana tunduk dengan desakan rakyat untuk menurunkan harga runcit minyak, bersesuaian dengan penurunan harga minyak dunia.

Pada masa sama, kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat isu ‘cukai minyak’ yang terpaksa ditanggung orang ramai selama dua bulan. Kita tidak mahu berlaku salah faham antara rakyat dan kerajaan dalam isu yang membabitkan kebajikan orang ramai.

SHAHIR ADNAN

Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia