SEJAK kebelakangan ini banyak berita dan dakwaan dalam media sosial kononnya duit dalam akaun bank sudah tidak selamat khususnya jika mempunyai akses kepada aplikasi dalam talian.

Saya sendiri tidak pasti semua ini berita palsu atau cuma cerita sensasi ala ‘nasi tambah’ Hollywood, memperbesarkan kes-kes terpencil.

Namun, saya minta Bank Negara dan institusi kewangan segera mengeluarkan kenyataan bagi menjamin keselamatan wang simpanan rakyat sebelum orang ramai hilang kepercayaan kepada bank-bank di negara ini.

Jumlah yang hilang mencecah ribuan ringgit itu mungkin kecil di mata institusi kewangan tetapi bagi mangsa, setiap sen yang hilang menandakan kelemahan dalam sistem kewangan sedia ada dan mampu melumpuhkan sistem perbankan tempatan dalam jangka panjang.

Bukannya kali pertama wang hilang dari dalam akaun individu tetapi selama ini orang ramai berasa terjamin dan yakin akan mendapat kembali duit tersebut.

Bagaimanapun, kisah yang tular dalam media sosial kini memberi gambaran pihak bank tidak perlu bertanggungjawab malah kononnya tidak akan menggantikan duit yang hilang.

JUTAWAN RUPIAH
Klang, Selangor