ENTAH kenapa bahasa Melayu walaupun termaktub sebagai bahasa kebangsaan tetapi tidak dibanggakan di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) untuk mengupas tentang isu pelampau agama pada 24 Julai lalu.

Kesemua pembentang bagi Seminar Saintifik Sehari tentang ‘Ekstremis Takfiri’ itu kecuali Profesor Syed Farid Alatas adalah warganegara Malaysia.

Bahkan, Syed Farid dari Singapura adalah berbangsa Melayu tetapi bahasa pengantar seminar itu tetap menggunakan bahasa rasmi di Britain.

Adakah hanya kerana tema seminar tersebut berkaitan ‘Dunia Islam’ maka bahasa Melayu tidak relevan sebagai bahasa pengantar program yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa itu?

Mengapa sebuah universiti awam mengehadkan peranan bahasa kebangsaan?

Kalau tema atau peringkat seminar antarabangsa mesti guna bahasa Inggeris, sampai bila mahu biarkan bahasa Melayu sekadar bahasa pengucapan pekerja Bangladesh di stesen minyak sahaja?

Sikap pihak kebanyakan universiti, bukan sahaja di Akademi Pengajian Islam UM, yang berleluasa menggunakan bahasa Inggeris dalam penganjuran program ilmiah amat mengecewakan.

Sudahlah universiti swasta 100 peratus menggunakan bahasa Inggeris, universiti awam pun bahasa kebangsaan tidak mendapat tempat?

Penggunaan bahasa Melayu bagi program ilmiah di universiti amat penting supaya ilmu, maklumat dan dapatan kajian terkini berkenaan sesuatu bidang yang dibahaskan dapat ‘dirakyatkan’.

Ketika masyarakat Cina daripada golongan intelektual, peniaga dan ahli politik mereka cuba meluaskan penggunaan bahasa Mandarin melalui tuntutan supaya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf, lain pula sikap golongan akademik Melayu di universiti awam.

KAMAL JAMAL

Kampung Baru, Kuala Lumpur