PAPARAN Utusan Online 19 Mac 2017.
PAPARAN Utusan Online 19 Mac 2017.

Pada mulanya saya hanya anggap risalah agama biasa oleh jabatan agama Islam atau Yadim dan hati tergerak untuk membelek risalah tersebut.

Salah satu artikel pada risalah itu bertajuk Realiti dan hukum pembunuhan warga asing dalam negara.

Tajuknya agak meragukan. Cuba membaca hingga habis dua muka surat yang ditulis mengenai hukum-hukum pembunuhan ‘dihalalkan’ oleh Islam yang diistilahkan golongan kafir harbi.

Turut dikaitkan juga warganegara asing yang tinggal di negara ini termasuk kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong-nam dengan penghujahan-penghujahan mereka mengikut kitab tertentu.

Saya tidak mahu membicarakan soal betul atau salah dari sudut pandangan agama sebenar kerana saya bukanlah pakar dalam bidang itu.

Namun, keraguan saya itu ternyata tidak salah apabila terpandang logo pada risalah berkenaan ialah ‘Suara Kebangkitan Hizbut Tahrir Malaysia’.

Agak terkejut juga kerana fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir telah difatwakan bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Persoalannya di sini, bagaimana ajaran sesat itu amat bebas untuk menyebarkan fahaman mereka tanpa apa-apa tindakan pemantauan daripada pihak berkuasa agama?

Mereka bukannya melakukan kegiatan secara tersembunyi di tempat tersorok atau di hutan mahupun di dalam gua. Setelah bertanya kawan-kawan, kata mereka, risalah-risalah daripada kumpulan ajaran ini sudah lama dan banyak disebarkan di masjid-masjid termasuk Masjid Negara.

Rasanya tidak sukar untuk mengesan mereka kerana kumpulan ini boleh diakses dalam laman web https://ht-malaysia.com/ serta mempunyai akaun dalam laman sosial di Facebook dan Instagram menggunakan nama hizbut-tahrir.org.my, fb: Hizbut Tahrir Malaysia, Twitter: @ht_msia.

Oleh itu, saya berharap isu ini mendapat perhatian daripada pihak berkuasa agama.

Jangan nanti mereka sudah merekrut beratus ribu pengikut dan mempengaruhi fikiran anak muda negara ini, barulah mula sibuk mahu menanganinya.

Lihat sahaja isu Daesh yang tidak perlu dihuraikan lagi. Jangan pula nanti akan ada pihak berkuasa agama yang akan mendakwa bahawa kerja-kerja penguatkuasaan bukan di bawah tanggungjawabnya.

Jakim akan kata mereka tidak ada kuasa kerana di bawah bidang tugas Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Bila dihalakan kepada JAIN, pastinya mereka kata fahaman itu belum lagi difatwakan menyeleweng di bawah negeri mereka. Di negeri berkenaan yang sudah pun difatwakan pula akan kata tidak terima apa-apa aduan daripada orang ramai secara rasmi selain menyatakan itu adalah tugas polis.

Kalau inilah yang akan berlaku, isu ini tidak akan selesai sampai bila-bila. Puak-puak ajaran itu pastinya akan bersorak di belakang sana dan bebas bergerak tanpa halangan. Ini bukan isu retorik politik tetapi ia membabitkan soal akidah umat Islam.

Buatlah penguatkuasaan secara bersepadu antara agensi, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) seperti yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

MOHD. FADZLI

Kota Bharu