Demi memancing undi, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah berjanji sewenang-wenangnya ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuk membatalkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kini dasar mereka membabitkan soal pembayaran balik hutang itu sentiasa berubah-ubah.

Menurut dasar terbaru kerajaan, potongan gaji berjadual yang diwajibkan ke atas peminjam berpendapatan RM2,000 sebulan hanya dua peratus daripada gaji atau RM40.

Tetapi meningkat kepada 15% terhadap individu bergaji RM8,000 sebulan dengan potongan sebanyak RM1,200.

Persoalannya, dengan pembayaran balik RM40 sebulan, sampai bilakah hutang itu akan dapat dilangsaikan? Di samping itu, potongan RM1,200 sebulan amat membebankan golongan berpendapatan pertengahan.

Satu lagi kemusykilan adalah dasar kerajaan menetapkan mereka bergaji di bawah RM2,000 tidak wajib ditolak gaji untuk pembayaran balik pinjaman PTPTN.

Adakah ini satu bentuk galakan supaya lebih ramai belia tidak bekerja bersungguh-sungguh dan memperoleh pendapatan lebih tinggi?

Banyak dasar kerajaan PH bertujuan menghukum budak baik dan mendengar cakap, tetapi memanjakan budak nakal. Lama-kelamaan, generasi akan datang boleh menjadi malas dan hanya menunggu bantuan kerajaan.

Janganlah pihak pengurusan PTPTN menjadi seperti kepemimpinan Kementerian Pendidikan yang gemar membuat pengumuman tanpa berfikir panjang sehingga mengelirukan orang ramai dan menjadi bahan jenaka.

Sepatutnya, PTPTN berpegang kepada prinsip asasnya iaitu hutang mesti dibayar, melainkan kes-kes tertentu seperti kemiskinan keluarga dan peminjam menghadapi masalah kesihatan.Kalau tidak, peminjam mestilah berikhtiar sendiri untuk melangsaikan hutang mereka.

Golongan muda patut diajar untuk bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka, bukan sentiasa menangis meminta pertolongan daripada kerajaan dan ibu bapa apabila menghadapi masalah atau menyatakan memungut hutang daripada mereka adalah perbuatan tidak adil.

Banyak dasar kerajaan terdahulu ada kebaikannya, termasuklah pengecualian pembayaran balik pinjaman bagi lulusan sarjana muda kelas pertama dengan kepujian. Ini akan menggalakkan pelajar berusaha bersungguh-sungguh.

DANIEL WA WAI HOW

Setiausaha Agung Pemuda MCA