Tindakan itu menunjukkan politik tidak matang dan ada unsur balas dendam. Situasi ini tidak sepatutnya berlaku dalam perkembangan ilmu moden dan tamadun sejagat.

Kenapa kerajaan PH agak ‘sinis’ dengan akhbar terbitan Utusan Melayu (M) Berhad? Alasan yang diberi beberapa pemimpin PH tidak memperlihatkan keterbukaan pemikiran. Amat dangkal apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menyatakan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia tidak mencapai standard memupuk nilai murni. Apakah menteri ini faham apa itu nilai murni? Apakah dengan menyekat langganan akhbar tersebut memperlihatkan nilai murni?

Sebelum wujudnya media sosial, peranan akhbar amat penting bagi menyampaikan maklumat dan berita kepada masyarakat. Falsafah pengamal media adalah etika dan integriti. Kalau ada kesilapan dan kekeliruan, akhbar tersebut sedia bertanggungjawab. Jadi kenapa perlu risau?

Pada zaman pemerinatah kerajaan Islam Abbasiah, banyak berlaku kezaliman. Maka para ulama telah menggunakan mata pena (tulisan) menegur dan menasihati pemerintah yang zalim. Waktu itu tiada akhbar tapi para ulama menasihati dengan cara menulis surat. Konsepnya sama, bertujuan baik. Kepada semua ahli dan pemimpin UMNO, beli dan bacalah akhbar keramat ini.

Jangan sayang atau merasa rugi mengeluarkan wang RM1.50 dan RM2.00 untuk berkongsi ilmu, sekali gus membantu Utusan. Kalau sudah beli, jangan tinggalkan di pejabat atau dalam kereta. Bawa masuk ke rumah, biar isteri dan anak-anak juga membacanya.

Nazri Sham

Chenor, Pahang.