Maka sebahagian besar wakil rakyat kerajaan peringkat pusat dan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di peringkat negeri dilihat terdiri daripada mereka yang belum terdedah dengan kedudukan serta fungsi sebagai anggota kerajaan.

Difahamkan kebanyakan mereka tiada pengalaman sebagai anggota kerajaan atau urus tadbir negara atau negeri.

Hal yang sama mungkin juga berlaku pada ahli majlis daerah atau ahli majlis perbandaran di peringkat kerajaan tempatan kerana kaedah dan proses pelantikannya lebih kurang sama.

Oleh itu, saya rasa mungkin akan berlaku sedikit sebanyak masalah penyesuaian diri dengan tugasan sebagai golongan ‘orang politik’ kerajaan dengan golongan ‘orang politik’ pembangkang.

Ia kerana pada lazimnya kedua-dua golongan tersebut mempunyai perbezaan yang agak ketara terutama dari segi cara berfikir, bertindak dan bercakap.

Sebagai orang politik kerajaan, mereka yang dilantik sebagai anggota kerajaan sama ada di peringkat pusat, negeri atau kerajaan tempatan tidak lagi bebas seperti semasa berada dalam pembangkang.

Ini kerana ‘orang politik kerajaan’ selain menjaga kepentingan politik parti yang didukunginya mereka mesti juga menjaga kepentingan negara dan keseluruhan rakyat melibatkan hal ehwal keselamatan, ekonomi, sosial, budaya, agama dan lain-lain secara keseluruhannya.

Manakala rakyat pula bukan sahaja perlukan khidmat bakti kerajaan menerusi program, projek atau kewangan tetapi juga maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Supaya proses aliran kerja, tanggungjawab, tugas dan peranan itu berjalan lancar, tentulah kita perlu menjalinkan kerjasama yang baik antara ‘orang politik’ yang memerintah dengan ‘pegawai kerajaan’ yang melaksanakan dasar pemerintahan.

Kerjasama seperti ini boleh direalisasikan menerusi sikap persefahaman antara satu pihak dengan pihak lain.

Saya yakin persefahaman boleh wujud dengan jayanya menerusi ‘khidmat nasihat’ oleh mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang tertentu yang terdiri daripada pegawai kerajaan sendiri dan ini harus berlaku di semua peringkat kerajaan iaitu pusat, negeri dan daerah atau kerajaan tempatan.

PEMERHATI POLITIK 
AMATUR

Kedah