Daripada jumlah tersebut, Universiti Malaya (UM) mencatatkan kutipan tertinggi sebanyak RM1.6 bilion diikuti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebanyak RM71 juta. Kutipan tabung itu diperoleh hasil sumbangan individu dan syarikat.

Sementara itu, kutipan tabung wakaf sepanjang tempoh sama di 13 universiti awam berjumlah RM23.05 juta. Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan jumlah tertinggi dengan RM8 juta diikuti Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) sebanyak RM4.48 juta.

Sebenarnya istilah endowmen (untuk bukan Islam) dan wakaf (untuk umat Islam) mempunyai erti hampir sama iaitu amalan kebajikan berasaskan sedekah. Pulangan yang dijana daripada harta diwakafkan akan digunakan bagi membiayai program pengajian dan yang berkaitan kebajikan pelajar atau kakitangan universiti.

Dalam pada itu, saya juga menyambut baik kenyataan Idris bahawa kementerian itu sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan supaya penyumbang kepada tabung wakaf menerima pengecualian cukai sama seperti yang telah dinikmati oleh penderma tabung endowmen.

Selain insentif pengecualian cukai, pelbagai kaedah baharu perlu dicari bagi memastikan dana kedua-dua tabung berkenaan dapat ditingkatkan.

Kita perlu belajar dari Turki yang lebih maju dalam aspek ini. Di negara itu, terdapat 142 institusi pengajian tinggi (IPT) yang dibangunkan dengan dana wakaf. Antara yang terkemuka adalah Universiti Fatih Sultan Mehmet Vakif (FSMVU).

Universiti Al-Azhar di Mesir yang telah melahirkan ribuan cendekiawan Islam juga ditubuhkan hasil daripada dana wakaf. Kos pendidikan di situ amat murah dan tidak membebankan pelajar.

Menurut ajaran Islam, sistem wakaf bertujuan menggalakkan orang ramai melakukan kebaikan dengan menderma sejumlah wang atau harta untuk manfaat orang lain. Ini adalah antara amalan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Bagi saya, sistem wakaf boleh memainkan peranan penting dan menjadi salah satu penyelesaian isu kekurangan dana yang dihadapi oleh universiti.

Kekuatan kewangan amat penting kepada pihak universiti kerana perlu membaik pulih dan membina infrastruktur kekal seperti bangunan akademik dan pentadbiran, asrama serta perpustakaan.

Malah, kos membiayai program pembelajaran di peringkat IPT juga memerlukan wang yang banyak.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan telah memberi autonomi kepada IPT untuk menjana dan mengurus pendapatan mengikut kehendak dan acuan sendiri dengan pemantauan kerajaan.

Berikutan kebebasan yang diberikan kerajaan, pihak pentadbir universiti perlu bersikap kreatif untuk memperkenalkan kaedah-kaedah baharu bagi mengumpul dana untuk kedua-dua tabung berkenaan.

Sejajar dengan matlamat untuk menggalakkan lebih ramai menyumbang kepada kedua-dua tabung itu, mahasiswa sendiri boleh memainkan peranan dengan menganjurkan seminar kesedaran berwakaf kepada golongan yang berpotensi untuk menyumbang.

Ketika seminar itu, perlu dijelaskan kaedah paling mudah untuk menyumbang termasuk potongan gaji setiap bulan.

Jika mahasiswa mampu menarik ramai orang untuk berwakaf kepada universiti mereka, tidak mustahil masalah kekurangan dana yang dialami oleh IPT dapat diselesaikan.

NURUL FATIHAH AB. KADIR

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)