Walaupun tujuannya semata-mata untuk cuba menghiburkan penonton tetapi rasanya tidak sesuai dan kurang adab serta seolah-olah mempermainkan atau mempersendakan orang sudah mati.

Janganlah kita mempersendakan agama kita sendiri dengan perbuatan mengajuk orang yang sudah mati kononnya dianggap sebagai hantu dan jembalang sedangkan kita tanpa disedari mempermain dan mempersenda diri sendiri.

Agama Islam mengajar kita menghormati bukan sahaja sesama manusia yang hidup tetapi juga menjaga adab dan menghormati orang yang sudah mati.

Sering diperhatikan di dalam rancangan program pertandingan lawak seperti di dalam pertandingan ‘Maharaja Lawak Mega’ yang disiarkan secara langsung membawa lawak jenaka yang kadangkala menyentuh secara negatif malah ada yang mempermainkan ayat-ayat suci al-Quran.

Jagalah adat dan adab, peliharalah institusi agama kita dan jangan sekali-kali kalimah Allah dijadikan bahan jenaka mahupun membawa watak jenaka melibatkan kubur dan hantu.

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan, Seremban