Rata-rata terkejut dengan berita itu yang kemudiannya dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof hanya disasarkan kepada umat Islam berkemampuan.

Kos sebenar menunaikan haji sebanyak RM22,900 itu merangkumi tambang penerbangan, pengangkutan, penginapan di Mekah dan Madinah, belanja makan minum serta bayaran kepada pihak berwajib di Arab Saudi.

Namun, Tabung Haji sebelum ini menanggung subsidi sebanyak RM12,920 dan menjadikan kos menunaikan haji hanya sebanyak RM9,980.

Jika benar seperti yang tular di media sosial, maka pihak yang merayu untuk menunaikan haji lebih awal dan pengiring jemaah haji akan dikenakan bayaran penuh tanpa subsidi sekiranya mereka dikategorikan dalam golongan berkemampuan.

Kerajaan perlu mengkaji mekanisme yang betul-betul sesuai untuk melaksanakan kaedah terbaharu ini bagi mengelak umat Islam kurang berkemampuan dikenakan kadar bayaran tinggi.

Mujahid sendiri pernah berkata sebelum ini yang kerajaan akan cuba mengekalkan subsidi haji.

Ini dengan memastikan bahagian perniagaan Tabung Haji yang sedang melalui proses pemulihan dapat meneroka bidang perniagaan yang lebih kompetitif untuk menjana pendapatan sampingan.

Jika dilihat kepada golongan yang merayu untuk menunaikan haji lebih awal, kebanyakan mereka adalah golongan pesara atau warga emas dan ada juga dalam kalangan golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Bayangkan nasib petani, nelayan, buruh, peniaga kecil dan lain-lain kumpulan berpendapatan rendah yang menyimpan sedikit demi sedikit dalam Tabung Haji bagi membolehkan mencapai impian mereka untuk menunaikan haji.

Mereka menyimpan bertahun-tahun untuk mendapatkan jumlah terkumpul sebanyak RM9,980 bagi membolehkan mereka tunaikan haji.

Apa akan berlaku jika kumpulan ini diminta untuk membayar harga penuh tanpa subsidi dan perlu menambah hampir sekali ganda daripada jumlah yang telah dikumpul.

Adilkah bagi golongan ini yang merayu untuk menunaikan haji lebih awal dan pastinya mereka akan berasa kecewa dengan hal ini.

Pengiring jemaah haji juga berkemungkinan besar ditarik balik subsidi, sedangkan pengiring ini kebanyakan adalah menemani mahram atau ibu bapa yang sudah uzur.

Niat mereka adalah ikhlas untuk membantu ahli keluarga terdekat menunaikan haji.

Bagi kumpulan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) dan kategori berpendapatan tinggi (T20), untuk mengumpul wang sebanyak RM22,900 mungkin tidak menjadi masalah memandangkan pekerjaan mereka membolehkan mereka mengumpul wang dalam tempoh yang singkat.

Saya berharap Tabung Haji terus membuat pelaburan dan perniagaan menggunakan deposit dalam Tabung Haji bagi membolehkannya meraih keuntungan untuk menampung kos operasi pengurusan haji yang semakin meningkat.

Selain itu, jika tiada pilihan, Tabung Haji boleh menaikkan sedikit bayaran haji antara lima hingga 10 peratus jika benar-benar mahu menampung kos yang semakin meningkat bukannya menarik balik subsidi.

Semoga Tabung Haji terus menjadi organisasi yang membantu umat Islam menunaikan Rukun Islam kelima ini.

SYAMSYUL SAMSUDIN
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor