Adat Melayu adalah kepercayaan masyarakat Melayu kuno yang diwarisi sejak turun-temurun dari satu generasi ke generasi seterusnya. Tetapi, ada sesetengah adat Melayu yang bertentangan dengan Islam yang mana melibatkan kepercayaan kepada kuasa mistik iaitu menyandarkan harapan kepada alam ghaib.

Namun begitu, adat Melayu diamalkan sesuai dengan zaman serba moden kini yang berlandaskan Islam. Generasi muda kini perlu hormat dan amalkan adat yang mana merupakan adab diterapkan dalam Islam agar terus dapat membina sahsiah diri sepadan dengan negara Malaysia yang dikenali sebagai negara Islam.

Tambahan pula, Islam adalah syumul yang mana merangkumi setiap aspek kehidupan dari awal bangun tidur sehingga kembali tidur selari dengan sunah yang diamalkan dan dibaca.

Sebagai contoh, apabila berjumpa dengan orang, adat Melayu mengajar kita berjabat tangan manakala adab dalam Islam menyarankan memberi salam sesama saudara Islam. Maka, ini dapat dilihat selari antara adat Melayu dan adab Islam.

Gagasan Malaysia menitikberatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Masyarakat Melayu Malaysia perlu mengamalkan adat selari dengan adab Islam agar menjadi contoh kepada generasi muda dan menjadikan Malaysia aman dan harmoni.

Walau bagaimanapun, generasi muda iaitu golongan belia adalah tunggak negara dan pemangkin pembangunan negara pada masa hadapan. Mereka perlu lebih mengutamakan akhlak baik yang seimbang antara adab Islam dengan tatasusila adat Melayu.

Pada waktu yang sama, ibu bapa serta guru perlu menekankan adab yang baik kepada anak-anak yang sedang membesar seperti mana diungkapkan dalam peribahasa Melayu ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Anak-anak ini mudah diajar dan ditegur serta dapat menanam dalam diri mereka nilai murni yang baik agar mereka membesar dengan akhlak mulia.

Ibu bapa perlu mengajar anak-anak tentang adab Islam berserta sunah Rasullullah SAW agar dapat kita meningkatkan keimanan kepada Allah.

Kita adalah umat Muhammad iaitu yang terakhir diuji dengan pelbagai budaya dan adat dari bangsa-bangsa lain. Justeru, kita perlu tetap teguh dengan pendirian dan adab Islam yang memandu kita dengan kehidupan aman dan makmur.

Malaysia akan menjadi negara contoh kepada negara lain di dunia sebagai negara Islam yang mengamalkan agama secara sejagat dan telus dalam pembangunan masyarakat yang bersatu dalam setiap aspek kehidupan.

NUR FATIHAH DAUD

Negeri Sembilan