Saya mengharapkan agar pihak tuan dapat mengadakan peraduan seperti Teka Bola Utusan, Teka Silang Kata, Takraw dan sebagainya. Peraduan seperti ini adalah untuk menarik hati lebih ramai lagi pembaca melanggani akhbar kesayangan mereka ini di samping merebut hadiah daripada Utusan Malaysia.

Saya yakin ramai yang berminat dalam peraduan sebagaimana yang telah disediakan sebelum ini.

Tidak rugi jika Utusan Malaysia mengadakan peraduan demi untuk menarik lebih ramai pembaca.

Malah, akhbar ini juga boleh memperluaskan lagi peraduan berkenaan.

Contohnya, peraduan Teka Silang Kata yang secara tidak langsung boleh meningkatkan lagi minda pembaca.

Setiap peraduan itu sebenarnya tidak memerlukan hadiah yang lumayan.

Selain wang tunai, Utusan Malaysia juga boleh menawarkan hadiah berbentuk pakej percutian, melancong atau baucar membeli-belah.

Langkah ini dapat membantu pembaca memandangkan kos sara hidup kian meningkat.

Satu lagi hadiah yang boleh ditawarkan ialah baucar buku. Dengan hadiah berbentuk baucar buku, pembaca yang memenangi peraduan itu boleh menggunakannya untuk mendapatkan buku sekolah untuk anak-anak.

ZULKIFLI HASSAN

Taman Kuala Kangsar