Bahkan telah menjadi kebiasaan untuk meminta kepimpinan utama bercuti atau meletak jawatan walau telah dipilih secara demokratik dan mengikut Perlembagaan parti. Hujahnya, itulah demokrasi dan kebebasan bersuara dalam parti yang sebenar!

Di sebelah pihak lawannya, Pakatan Harapan (PH), dalam mendepani pelbagai perbezaan ketara pada ideologi parti-parti komponen, pertentangan politik dalaman dan prinsip, tidak kedengaran pula suara-suara sumbang mendesak kepimpinan utama mereka meletak jawatan.

Ia terbukti sebelum dan selepas PRU-14 mengambil tempat. Walak kepada pemimpin kelihatan mendominasi budaya parti. Prinsip sama terlihat pada Pas.

Ia sudah tentu bukan atas dasar sokong membawa rebah, sebaliknya pemahaman dan kepercayaan terhadap prinsip teras dalam berorganisasi iaitu kesatuan matlamat dan pengiktirafan kepada konsep autoriti pemimpin.

Pemahaman mudah, menyerang pemimpin sendiri akan membuka ruang kepada perpecahan dan ketidakaturan berorganisasi. Natijah yang menyusul boleh difahami dengan ungkapan kebenaran yang bercelaru akan kalah kepada penipuan tersusun.

UMNO sewajarnya ketika ini meraikan pelbagai manfaat didukung oleh isu-isu persekitarannya yang ternyata memihak kepada parti itu. Daripada kegagalan melunaskan janji manifesto oleh PH, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih kekal tidak terjawab walau telah lebih setengah tahun pentadbiran beralih tangan.

Isu lain kemerosotan ekonomi semasa, isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kecelaruan pembuatan keputusan oleh kepimpinan Kabinet kerajaan semasa, pertelingkahan dalaman parti lawan, kesedaran rakyat dan seumpamanya seharusnya menguntungkan UMNO.

Malangnya, ruang dan peluang yang ada bukan sahaja gagal dimanfaat sebaik mungkin, bahkan diganti dengan pertelingkahan dalaman untuk menaikkan kelompok sendiri dengan retorik murahan.

Jika mekanisme sedia ada gagal dihormati kerana tidak mampu meraikan kelompok yang disukai, untuk apa lagi diseru kepada pemilihan baharu, sedang ia daripada mekanisme yang sama sahaja.

Andai kelompok disukai berjaya dinaikkan melalui pemilihan baharu kelak, apakah boleh dikatakan ia pemilihan yang lebih layak dihormati berbanding terdahulu? Akhirnya, parti hanya terkepung isu-isu dalaman.

Cukup itu sahaja untuk menjatuh dan melupus terus sebuah parti keramat yang menguasai takhta semenjak enam dekad, itu pun terkalah oleh parti yang memenangi tidak sampai dua pertiga majoriti kerusi di Parlimen!

Bukan untuk merendah-rendahkan orang muda serta kumpulan-kumpulan mereka, tetapi PRU-14 lah yang telah membuktikan bagaimana kelompok ini paling tertipu dek janji-janji manis yang tidak munasabah. Justeru, kepada UMNO, berhati-hatilah dengan slogan yang meraikan semangat dan kuasa orang muda yang begitu memukau selama ini.

Kerana suara dan desakan daripada kelompok sama itu jugalah sebenarnya yang telah menjatuhkan UMNO dari dalam, melalui gerakan dan idea-idea sekadar memukau tetapi sukar dipraktik.

Golongan ini banyak bercakap pasal nilai-nilai murni tidak ketara seperti integriti dan ketelusan, tetapi kelihatannya gagal pula mempraktik nilai-nilai murni yang lebih ketara sifatnya seperti mengutamakan bukti di atas setiap pertuduhan dan membuat keputusan berasaskan fakta, bukan emosi!

PENGEMIS SOH

Bangsar, Kuala Lumpur