Saya perhatikan begitu banyak resipi makanan kini cuba dilabel atau ‘dituntut’ sebagai makanan tradisi Indonesia sehinggakan berlaku mogok besar jika resipi hampir sama dipaparkan sebagai masakan Malaysia.

Sebagai contoh, nama ‘nasi goreng’ kini dipromosikan secara agresif dalam media sosial dan video Youtube sebagai resipi khas Indonesia sedangkan itu hanya nasi putih yang digoreng dengan pelbagai resipi berbeza.

Antara punca masalah berebut ‘nama dan resipi’ ini adalah pemikiran sempit sesetengah pihak yang tidak sedar komuniti serumpun bukan sahaja di Indonesia dan Malaysia, malahan keseluruhan gugusan kepulauan Melayu di Asia Tenggara.

Ini diburukkan lagi masalah kurangnya promosi makanan Melayu tempatan di peringkat antarabangsa sehingga banyak resipi tradisional ‘dicuri’ dan digambarkan sebagai menu asli ‘baharu’ di beberapa restoran di luar negara.

Lebih elok sekiranya dianjurkan program ‘jejak resipi Nusantara’ bagi menunjukkan kepada generasi muda kepelbagaian dan perbezaan kecil resipi serupa di negara dan wilayah berbeza.

KAKI MAKAN

Taiping, Perak