Memandangkan saya tidak menonton drama tersebut, saya cuma membaca sinopsis dalam talian dan hasil pemahaman saya nampaknya drama ini berjaya menonjolkan kesan rebutan suami dan kemungkinan hidup berpoligami.

Rata-rata reaksi wanita menunjukkan mereka memarahi watak Husna yang cuba ‘merampas’ suami kepada watak utama tetapi pada masa sama tidak ramai yang mempertikaikan sikap si isteri yang selama ini mengabaikan suaminya.

Adakah mereka yang memarahi Husna itu sama sikap dengan si isteri yang pemalas, suka bermasam muka, keluar sesuka hati dan kurang ajar dengan suami sendiri?

Malah si isteri boleh pula pergi belajar di luar negara meninggalkan suami sendirian (mengikut sinopsis)? Adakah itu ciri-ciri isteri idaman seorang suami?

Ingin saya bidas wanita khususnya isteri yang anti-poligami tetapi tidak peduli keperluan zahir dan batin suami. Yang disebut-sebut hantaran RM20,000 (ikut berat badan agaknya), majlis kena gah (harap dapat tajaan) dan suami perlu sediakan segala-galanya termasuk orang gaji serta pengasuh anak.

Adakah wanita-wanita ini fikir suami akan suka ditinggalkan makan sendirian, tidur sendirian dan berjalan sendirian?

Lumrah manusia mahu berteman, mahu berpasangan, mahu zuriat. Kerana itulah kita berkahwin, untuk menghalalkan hubungan lelaki dan wanita.

Sudah ramai saya lihat ahli keluarga dan rakan yang bercerai-berai atau berpoligami disebabkan perangai wanita sama seperti si isteri dalam drama tersebut.

Bukannya mahu mempertahankan lelaki ‘miang’ atau mahu berpoligami sedangkan tidak mampu tetapi jangan samakan semua lelaki dengan jenis itu sedangkan begitu ramai lelaki mencari kasih sayang di luar disebabkan terabai daripada belaian isteri.

Saya tidak pasti bagaimana sikap watak Husna sebenarnya tetapi jika dia pandai membelai dan menjadi tempat meluah perasaan, maka memang patut si suami memilihnya sebagai isteri kedua mahupun isteri tunggal.

Secara mudahnya, suami atau isteri perlu faham tanggungjawab masing-masing. Jika tidak sayang memang tidak akan dijaga tetapi jangan bila mahu diambil orang lain baru mahu dikejar bayang sehingga ‘gila talak’.

Jaga suami (atau isteri) masing-masing dengan baik atau bersedia sahaja menjadi janda (atau duda) mahupun hidup berkongsi kasih (jika suami mampu). Berhentilah ‘membawang’ nama Husna sedangkan keperluan pasangan sendiri belum tentu terjaga.

ISTERIKU HUSNA

Seri Kembangan