Pada hari pertama 2019 sahaja rakyat telah ‘dihadiahkan’ dengan harga minyak yang masih tidak turun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng beralasan mahu membawa isu tersebut ke mesyuarat Kabinet terlebih dahulu bagi merealisasikan apungan harga minyak mingguan.

Harga minyak dunia turun lagi jika dibandingkan Oktober ke Disember 2018 di mana harga setong telah jatuh daripada AS$82 kepada AS$60 pada Disember. Terkini, harga minyak setong adalah sekitar AS$50.

Mengikut pengiraan terkini menggunakan harga minyak AS$50 setong, selepas memasukkan keseluruhan kos dan margin keuntungan, harga minyak di stesen minyak dianggarkan RM1.71 untuk seliter.

Ini menunjukkan bahawa rakyat telah membayar hampir 50 sen setiap liter kepada kerajaan PH pada Januari 2019 dan inilah cukai senyap yang diambil daripada rakyat pada hari pertama tahun ini.

Setelah membuat pengiraan lebih terperinci, kerajaan sebenarnya tidak perlu membayar subsidi minyak apabila harga minyak AS$70 setiap setong.

Berdasarkan maklumat ini, dianggarkan harga minyak AS$70 sejak 8 November 2018.

Kerajaan sebenarnya mempunyai masa selama dua bulan untuk memberitahu rakyat dan mengurangkan beban rakyat dengan menurunkan harga minyak di stesen minyak. Tetapi pak menteri dan kerajaan memilih untuk diam membisu.

Awal tahun ini merupakan bulan ketiga rakyat terpaksa membayar cukai minyak kepada kerajaan secara senyap-senyap. Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mewakili Pemuda Gagasan Sejahtera menggesa menteri berkenaan agar bersikap telus dan prihatin dengan kesusahan yang dialami rakyat.

Kami juga ingin menggesa harga minyak diturunkan mengikut perkiraan harga minyak dunia dan diapungkan setiap minggu dengan harga siling sekiranya harga minyak dunia kembali naik secepat mungkin.

SHAHRIR ADNAN

Ketua Pemuda Ikatan