Dilaporkan Pulau Pinang tidak menerima hujan beberapa hari sebelum kejadian. Justeru apa punca sebenar keruntuhan tanah itu? Di manakah silapnya? Apakah pihak pemaju tidak mengambil langkah-langkah keselamatan yang sepatutnya? Hal ini masih menjadi persoalan dan menimbulkan kebimbangan banyak pihak terutamanya masyarakat berhampiran.

Nampaknya tragedi Highland Towers yang meragut 48 nyawa pada 11 Disember 1993 tidak dijadikan iktibar. Pemaju rumah dilihat masih ghairah mencari keuntungan melakukan pembinaan di lereng bukit secara berleluasa. Pokok-pokok ditebang dengan rakus atas nama pembangunan tanpa mengambil kira kesan buruk berlaku selepasnya.

Setakat ini, terdapat 12 kejadian tanah runtuh dengan kehilangan 120 nyawa dilaporkan berlaku di negara ini. Itu tidak termasuk 11 nyawa terkorban di kawasan pembinaan di Tanjung Bungah.

Sebelum ini, kejadian tanah runtuh di susur Genting Highlands pada 1995 menjadi kedua terburuk dalam sejarah dengan 21 kematian, diikuti bencana menimpa Rumah Anak-anak Yatim Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat pada 2011 yang mengorbankan 15 anak-anak yatim bersama seorang penjaga.

Tanah runtuh berlaku akibat gelongsoran tanah atau pergerakan tanah dari satu kedudukan tidak stabil, berlaku secara pantas atau perlahan. Kawasan bertopografi cerun lebih berisiko mengalami tanah runtuh berbanding kawasan landai dan rata. Graviti yang bertindak pada cerun curam adalah punca utama kejadian.

Namun, terdapat faktor tambahan seperti hakisan, gempa bumi, gegaran dari mesin dan trafik. Malah guruh juga boleh mencetuskan keruntuhan cerun yang lemah. Selain itu, berat melampau hasil daripada pengumpulan hujan atau salji dan tekanan air bawah tanah juga boleh menyumbang kepada kejadian tanah runtuh ini.

Selain faktor semula jadi, tanah runtuh juga boleh berlaku di kawasan sudut kecerunan rendah akibat aktiviti manusia. Pembalakan haram khususnya akan menghasilkan tanah gondol dan struktur tanah tidak stabil menyebabkan air bercampur tanah mengalir deras ketika hujan lebat.

Bukan itu sahaja, projek pembinaan perumahan, hotel, mahupun lebuh raya di lereng-lereng bukit juga menyebabkan bukit terpaksa ditarah. Lebih memburukkan keadaan sekiranya dinding struktur penahan pergerakan arus tanah runtuh yang dibina di kawasan pembinaan itu gagal berfungsi.

Sebenarnya terdapat tanda-tanda awal sebelum keruntuhan tanah. Antaranya ialah kemunculan mata air baharu atau tanah basah melampau, keretakan mendadak pada lantai konkrit, permukaan jalan mendap secara tiba-tiba dan garisan lurus pagar menjadi bengkok.

Diharapkan tragedi di Tanjung Bungah baru-baru ini memberi iktibar kepada kita untuk lebih ‘berinteraksi’ dengan alam. Kerjasama semua pihak terutama pemaju perumahan amat diperlukan agar tidak membina projek di tempat berisiko tinggi seperti kawasan berbukit.

Ketiadaan kerjasama dan kedegilan pihak tertentu yang menyebabkan masalah ini sukar dikekang kerajaan. Janganlah kita terlalu taksub mencari keuntungan sehingga menyebabkan nyawa manusia yang tidak bersalah terkorban.

NUR AZIRA MAT RAHIM

Universiti Kebangsaan Malaysia