Ahli politik di Selangor bijak ‘membakar’ pengguna mengenai isu minyak naik 20 sen bagi menutup keputusan drastik mereka menambah beban pengguna.

Jangan ada yang berani guna ayat ‘apalah sangat 20 sen’ sedangkan mereka juga yang marah bila alasan sama digunakan untuk kenaikan minyak petrol.

Bila orang mula mengamuk baru mahu nyatakan ada laman web yang jelaskan semua persoalan tentang garis panduan pelaksanaan ‘kempen’ ini.

Kononnya 20,000 rakyat Selangor sudah tandatangani ikrar kempen ini, siapakah mereka? Bagaimana ikrar 20,000 orang atau 0.3 peratus ini boleh digunakan untuk mewajibkan keputusan mendadak ke atas lebih enam juta rakyat Selangor?

Dakwaan kononnya 71 peratus (4.26 juta orang) penduduk Selangor berpendapat satu hari tanpa plastik seminggu tidak mencukupi tetapi bukan bermakna mereka minta terus laksanakan setiap hari!

Lebih mengundang kemarahan 20 sen itu rupanya masuk ke akaun peniaga juga, bukannya tabung untuk melindungi alam sekitar.

Caj minimum 20 sen dan tiada caj maksimum jika plastik berlainan saiz? Adakah dasar ‘lumayan’ ini dibuat taikun dan kartel perniagaan atau wakil rakyat?

Kos kurang 1 sen dijual 20 sen, untung minimum 20 kali ganda atau 2,000 peratus. Nampaknya jual beg plastik lebih untung daripada jual emas permata.

Janganlah guna nama ‘kempen’ jika sudah jadi paksaan lebih-lebih lagi menguntungkan tauke-tauke yang menjadi pelobi politik.

Rakyat Selangor bukan marah anjuran kempen ‘suka paksa’ ini tetapi kaedah pelaksanaannya sungguh ‘biadab’.

ANAK JATI

Klang, Selangor